MANJA @ SAYANG

“Alah, abang tolonglah ambik adik. Adik penatlah, tak larat nak naik bas,” rungut seorang adik. Meminta abang untuk menjemputnya pulang.
Ada antara kita yang suka untuk dimanjai, memanjakan atau buat-buat manja. Ada yang memberi alasan itu adalah salah satu tanda kita menyayangi seseorang. Benar atau tidak, bergantung kepada interpretasi masing-masing. Begitu juga dengan cara perlaksanaannya. Namun sifat manja tidak sama dengan sifat sayang. Sedar atau tidak, manja lebih banyak membawa kesan negatif dari positif.

TERLALU MENGHARAP

Manja akan membuat diri kita terlalu mengharap pada bantuan. Sehingga adakalanya, kita tidak mampu berdikari langsung.
“Mak, nak duit 20 ringgit, nak kuar dengan kawan,”
Mudahnya kita meminta tika kita kehabisan duit. Sumber yang paling mudah, FAMA (father and mother). Jika tidak ditunaikan, kita akan memberontak. Kita katakan yang ibu bapa tak sayangkan kita. Sedangkan mereka sehabis baik menyediakan kemudahan untuk kita. Kesannya kita menyusahkan kedua orang tua kita. Sedangkan sifat sayang pada ibu bapa bukan menyusahkan tapi memudahkan mereka. Jika boleh, kita mahu semuanya disediakan untuk diri kita. Bukan sahaja duit belanja bahkan keperluan peribadi juga minta disediakan. Sebagai seorang remaja kita semestinya belajar berdikari untuk menyediakan segala kelengkapan tanpa mengharapkan orang lain, melainkan untuk mendapat pandangan mereka.

KURANG MENGHARGAI

Sikap atau sifat yang terlalu manja juga akan menjadikan diri kita kurang menghargai orang lain. Ini adalah kerana apabila kita kesusahan, kita akan mencari bantuan. Akan tetapi apabila kita berada dalam situasi yang agak selesa, kita mudah terlupa apa yang telah orang lain korbankan untuk kita.
“Kalau dah tak nak bagi tu cakap jelah!” jerit seorang anak.
“Bukan tak nak bagi, minggu lepas kan mak dah bagi 50 ringgit. Takkan dah habis dah?” Tanya seorang ibu.
Tidak puas dengan apa yang ada menjadikan diri kita tidak menghargai apa yang telah ibu bapa kita korbankan untuk diri kita. Hanya sedikit permintaan semasa kita tidak ditunaikan, cepat sungguh kita menjatuhkan hukum menyatakan kita tidak disayangi. Lebih pedih apabila kita menyatakan ibu bapa kita tidak adil atau berat sebelah. Sepatutnya kita menghitung kembali apa yang telah ibu bapa kita lakukan dari kita lahir sehingga sekarang. Mampukah untuk kita membalas atau membayarnya kembali?

PENTINGKAN DIRI

Sedar atau tidak, kita turut juga diajar untuk mementingkan diri sendiri dek kerana terlalu manja. Kita tidak memikirkan perasaan orang lain. Apa sahaja yang kita tuntut mesti dituruti. Tidak mengambil kira samada rasional atau tidak permintaan kita itu.
“Along tak kira, along nak juga motor! Kalau tak, along tak nak belajar!” tegas seorang anak pada ayahnya.
“Along, along kan masih sekolah lagi. Tunggulah along dah habis belajar nanti, abah belikanlah,” pujuk ayah.
Berbaloi atau tidak bagi seorang anak yang masih bersekolah untuk mempunyai sebuah motor? Mungkin tidak mustahil bagi sebuah keluarga yang berada. Bagaimana pula dengan keluarga yang miskin atau sederhana? Mempunyai keluarga yang besar. Pendapatan ayah pula hanya sederhana. Sepatutnya sebagai anak, kita mengambil kira kemampuan yang ada di sekeliling kita. Apa salahnya jika kita menangguhkan impian kita? Jadikan ia sebagai satu motivasi untuk kita berusaha lebih keras. Kita akan lebih menghargai jika apa yang diinginkan dapat dikecapi dengan titik peluh kita sendiri.

TIDAK MEMBERI

Apabila manja terlekat di hati, kita akan menutup hati kita untuk menjadi seorang yang pemberi tapi menjadi seorang yang asyik menerima. Bagi kita, kita yang hanya perlu menerima dan bukan tugas kita untuk memberi.
“Adik, tolong angkat baju diampaian. Along dah tolong jemur tadi, adik tolong angkat ya,” pinta kakak.
“Ah, angkatlah sendiri!” balas adik.
Sukarnya untuk memberikan pertolongan. Ini kerana kita terlalu dimanjakan. Semuanya disediakan, membuatkan diri kita tidak lagi memberi apa yang sepatutnya dilakukan. Memberi pertolongan, memberi perhatian dan paling penting, memberi kasih sayang telah kita halang untuk keluar dari diri kita. Hakikatnya, semakin usia kita meningkat, semakin banyak kita perlu bertolak ansur. Ini kerana kita menuju ke arah kematangan bukan kebudak-budakkan. Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kasih sayang yang perolehi.

SUKAR MEMAHAMI

Dek kerana manja, selalunya kita tidak memahami perasaan orang lain. Kita tidak mengambil kira apa yang kita lakukan akan mengguris hati orang lain ataupun tidak. Sudahlah kita mementingkan diri sendiri, pada masa yang sama kita juga meletakkan diri kita untuk tidak memahami apa yang dirasai oleh orang yang berada di sekeliling kita. Misalnya hati seorang ibu yang begitu sensitif. Jiwa seorang ayah yang begitu kental. Ataupun perasaan seorang abang yang begitu penyayang. Sedangkan salah satu rukun sebuah usrah (keluarga) adalah ‘tafahhum’. Saling memahami antara satu sama lain.

DEMAND TINGGI

Ibarat diberikan betis mahukan peha, itulah yang selalu terjadi bagi mereka yang manja. Kita tidak merasa betapa sukarnya untuk memerah keringat mencurah tenaga kerana semua diminta telah tersedia. Misalnya, minta baju, minta yang berjenama. Kasut, mesti kulit original. Sedangkan kita tahu semua itu bukannya murah. Cubalah kita hidup berpada-pada. Mujur masih ada yang sudi belikan untuk kita, jadi terimalah seadanya.

PERASAN BAGUS

Seperkara lagi, kita sering menyangka idea kitalah yang bagus. Katanya, ‘up to date’. Apa yang orang lain cakap dan nasihat tidak berguna. Sebenarnya itu hanya untuk mendapatkan apa yang kita inginkan. Tapi apabila terkena batang hidung sendiri, barulah nak sedar diri. Jangan sampai sudah terhantuk baru nak teradah. Buka minda jana pemikiran. Jadilah remaja yang berilmu bukan sekadar mencari ilmu.

Ulasan

Umi Nazrah berkata…
Rasanya asalkan tak melebihi batas..
MOHD RUSDI ABDULLAH berkata…
betul!!...manja biar bertempat, sayang biar paling hebat...