TAK HORMAT, TIDAK DIHORMATI

“Jom pergi lunch, dah sampai waktu makan dah ni,” ajak Halim
“Engkau pergilah, aku tak makan lah tengahari. Rasa macam dah buncit ke porch beg aku ni,” jawab Anuar.
Tatkala diri perlu untuk mendapatkan tenaga, adakalanya kita terlupa untuk menunaikannya. Mungkin bagi kita mudah untuk memandang enteng perkara yang sebegitu. Sedangkan kita boleh dikategorikan sebagai tidak pandai menghormati. Bukan sahaja dengan orang lain, bahkan dengan diri sendiri. Jika dihitung, tidak ke mana kita jika kita tidak pandai untuk menghormati.

DIRI SENDIRI

Ramai antara kita tidak menyangka bahawa diri kita sendiri perlu dihormati. Mudah untuk dilafazkan, tapi sukar untuk dilaksanakan. Paling mudah, bab makan. Orang yang berpuasa pun disuruh untuk berbuka. Jika tidak berpuasa, maka penuhilah hak diri kita untuk memberikan tenaga yang sewajarnya. Waktu sarapan, makan tengahari dan makan malam merupakan waktu makan utama yang perlu dijaga. Biarpun tidak mahu untuk mengambil makan yang berat, namun perut perlu diisi walaupun dengan sekeping roti bila tiba masanya.
Begitulah juga dengan pemakaian. Pastikan pakaian yang dipakai sentiasa bersih, harum dan segar. Bukankah Tuhan suka kepada kecantikan. Maka pastikanlah penampilan diri kita sentiasa cantik ataupun kemas. Ditambah pula dengan wangian yang sesuai. Bukan bauan yang boleh mencemarkan udara. Angkat sahaja ketiak, hangit yang tersebar. Aduh sayang sungguh jika itu yang berlaku. Sekarang ini sudah semakin banyak deodorant yang boleh membantu menyahkan bau badan. Begitu juga dengan minyak wangi tanpa alcohol yang sesuai dengan perwatakan kita seperti ceria, aktif, romantic dan pelbagai lagi. Antara mahu dengan tidak sahaja. Tidak salah berbelanja lebih sedikit untuk mendandan diri sendiri, bukannya untuk orang lain. Jika kita mampu untuk membelanjakan RM5 untuk top up bagi berhubung dengan orang yang tersayang, kenapa kita tidak boleh menggunakan nilai yang sama untuk diri kita? Siapa yang akan menyayangi diri kita, jika kita tidak sendiri belajar untuk menyayanginya?

KELUARGA

Di mana sahaja kita berada, walaubagaimanapun keadaan kita, keluarga adalah adalah segalanya di dunia ini. Mereka tidak pernah menolak mahupun mengenepikan kita biar apapun keadaan kita. Namun, kekadang kita lupa di mana nilai hormat kita kepada mereka.
“Abang tak suka dikawal! Abang tak suka dipaksa!” Antara jawapan mereka yang tidak boleh menerima teguran. Sedangkan teguran dan nasihat itu adalah untuk membentuk generasi muda agar tidak jauh terpesong. Apatah lagi bagi mereka yang baru mengenali dunia kehidupan yang sebenar. Tiada langsung rasa hormat pada keluarga.
Cuba dengar nasihat keluarga. Letakkan keutamaan apa sahaja yang ingin dilakukan adalah untuk keluarga dan bukannya untuk orang lain. Misalnya, dalam perhubungan seharian. Mengapa kita mampu untuk berhubung dengan orang lain lebih dari keluarga sendiri? Inilah kita, kekadang terlupa siapa yang menyokong selama ini? Siapa yang menjadi sandaran kita apabila kita memerlukan? Paling dikesalkan, kita sanggup pula menyimpan duit, semata-mata untuk top up, tapi apabila ditanya, boleh pula berbohong dengan menyatakan tiada wang. Adakah itu yang telah dididik dalam diri kita?
Bagi mereka yang baru sahaja bergelar remaja, kenapa tidak disimpan duit itu untuk masa depan. Apatah lagi bagi keluarga yang berpendapatan rendah. Ibu hanya berniaga, ayah pula sekadar bekerja sendiri. Adik beradik ramai yang perlu ditanggung. Letakkanlah keutamaan apa sahaja yang dilakukan adalah untuk membantu ibu bapa, dan bukannya untuk kepuasan nafsu sendiri. Ada kisah, belum lagi keluar keputusan SPM tapi sudah berkhayal untuk membeli kereta mahal, berjenama dan pelbagai lagi yang difikirkan untuk kegunaan sendiri. Tidak salah semua itu, asalkan tunaikan dahulu tanggungjawab kepada keluarga. Balaslah dulu, budi kedua orang tua kita. Bantulah adik-adik kita yang masih bersekolah, tanda hormat dan sayang kita kepada mereka.

JIRAN

Mustahil dalam kehidupan kita, tidak mempunyai jiran. Sudah semestinya jiran kita perlu dihormati. Paling tidak, hulurkanlah senyuman apabila berselisih. Senyuman itu satu sedekah. Jika memandu, angkatlah tangan tanda kita menghormati mereka. Bagi yang muda, jangan cepat menyampuk apabila mereka yang berumur sedang berborak. Begitulah juga jangan memasang telinga apabila ada masalah yang diceritakan. Mungkin belum masanya untuk kita mencampuri urusan mereka yang dewasa.
Panggillah jiran kita yang sudah berumur dengan panggilan yang sepatutnya samada pakcik, makcik, abang atau kakak. Janganlah diikut cara percakapan orang muda sekarang yang sedap mulut memanggil dengan gelaran yang tertentu.
Seperkara lagi, hak-hak mereka sebagai jiran juga perlu ditunaikan. Tidak boleh kita mengganggu mereka dengan aktiviti kita. Misalnya, kita menaiki motor tapi membunyikan enjin dengan kuat sehingga boleh membingitkan telinga. Zaman sekarang ini pula, ramai antara kita yang minat berkaraoke. Janganlah berkaraoke di rumah sekiranya rumah itu tidak kedap bunyi. Memang mengganggu keselesaan jiran kita. Pastinya, kita juga tidak selesa dengan jiran yang mengganggu ketenangan di rumah kita. Jika kita tidak suka, maka janganlah kita melakukannya terhadap orang lain.

SAHABAT HANDAI

Jangan menyakiti hati mereka yang bergelar sahabat. Bertanyalah khabar mereka. Layanlah mereka sebagaimana mereka melayani kita. Cuma jangan sehingga disalah anggap sahabat itu. Mereka yang menjadi sahabat kita adalah mereka yang benar-benar ikhlas untuk menjaga hati dan perasaan kita. Jika mereka sanggup untuk bekorban untuk kita, mengapa kita tidak boleh menghormati mereka sebagai sahabat kita?
Bersahabat juga tidak menghalalkan perkara yang haram. Jika perhubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim itu haram disisi syariat, maka ia tetap menjadi haram, biarpun dianggap sebagai sahabat.
Sesekali, berilah mereka buah tangan sebagai tanda ingatan kita kepada mereka. Apabia mereka kesusahan, biarlah kita menjadi orang yang pertama, membantu mereka. Jangan kita mendiamkan diri apabila kita tahu sahabat kita dalam kesusahan. Walaupun sekadar mendengar, itu sudah cukup bagi kita meringankan beban mereka.

ORANG TUA

Namapun orang tua, memang perlu kita untuk menghormati mereka. Tidak boleh tidak, bagaimanapun perangai mereka, kita perlu sabar. Tapi masih ada golongan muda antara kita ini, yang sudah terbalik. Mintak orang tua pula yang menghormati mereka. Misalnya, pergi bertandang ke rumah kawan tapi memerap di dalam bilik, enggan bercampur mahupun bersembang dengan kedua orang tua kawan kita. Tidak molek sekiranya itu amalan kita. Sebagai yang muda, kita perlu ringan mulut daripada mereka. Paling tidak bertanyakan khabar mereka. Tidaklah mereka beranggapan kita tidak pernah diajar untuk menghormati orang tua. Tidak salah mendengar cerita mereka sebagai tanda hormat kita kepada orang tua. Bahkan mereka lebih dulu makan garam dari kita. Apa salahnya berkongsi pengalaman dan menuntut ilmu daripada mereka.
Jika mereka telah menghidangkan makanan, jamahlah, sebagai tanda kita meraikan apa yang telah mereka hidangkan. Bukannya dengan menolak pelawaan seperti memberi alasan kita telah kenyang atau sebagainya. Sebagai orang tua, paling tidak hati mereka akan terguris, seolah-olah apa yang mereka lakukan tidak berharga. Bak kata orang tua-tua, jangan jual mahal.

AGAMA

Lakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Mudah, itulah prinsip dalam agama kita, agama Islam. Bukannya menghalalkan yang haram, mencegah yang halal. Jika kita tidak mengikuti prinsip ini, maka sememangnya kita tidak menghormati agama kita sendiri.
Agama kita menyatakan, melihat aurat wanita yang bukan muhrim itu haram. Namun ada antara kita ini yang mabuk cinta, menyimpan gambar kekasihnya yang tidak menutup aurat. Bahkan berbangga dengan memiliki gambar tersebut. Betulkah itu didikan agama kita?
Tidak malukah sebagai seorang perempuan begitu mudah mendedahkan mahkota wanitanya kepada jejaka yang belum pasti menjadi pasangannya dan masa depannya. Janganlah hidup di dunia fantasi, berpijaklah di bumi yang realiti.
Islam tidak pernah menghalang untuk berkenalan tapi biarlah mengikut syariat. Batasan dijaga, barakah dipelihara. Bukannya hanya memuaskan nafsu bak serigala. Mencari mangsa tidak kira siapa. Sehingga lupa larangan agama. Menolak ketepi pandangan orang tua. Nanti dah terantuk baru nak terjaga. Ketika itu siapa ada? Kembalilah kepada Islam sebagai agama, kerana itulah cara hidup kita.

Ulasan

Aidan Z berkata…
Wow, really deep...!