rastansia realitas

“Along, engkau nak belajar ke nak bercinta?” rungut seorang ibu apabila terjumpa sepucuk surat untutk berkenalan dalam bilik anaknya yang baru berumur 15 tahun.

“Ala, bukannye apa pun, kawan ajelah,” jawab si anak.

Bagi sesetengah ibu bapa, perkenalan di usia muda merupakan satu situasi atau senario yang biasa. Namun ada juga ibu bapa yang menitik beratkan pergaulan anak-anak mereka. Apatah lagi apabila usia meingkat remaja.

Bagi golongan remaja yang berusia antara 15 hingga ke 17 tahun, itulah peringkat bagi mereka untuk mencari identiti dan gaya hidup yang sesuai dengan diri mereka. Lantas sesiapa sahaja yang berani untuk mendekati mereka, akan dianggap kenalan dan mungkin juga lebih daripada itu.

CINTA KENALAN PROGRAM

Seringkali terjadi juga apabila ada antara remaja yang mengahadiri beberapa program untuk remaja adalah untuk mencari kenalan. Niat yang asalnya untuk membaiki diri dan menambah ilmu telah tersasar dan menjadikannya sebagai mencari kenalan itu sebagai tujuan utama. Apatah lagi jika cuba dielakkan dari diketahui oleh ibu bapa. Semakin maju negara, semakin banyak pula kemudahan yang disalah guna. Sedar atau tidak, itulah hakikatnya.

Tidak kurang juga yang mampu untuk menyeimbangkan antara dua perkara itu. Sepatutnya kita menggunakan peluang yang ada untuk menambah ilmu dan pengalaman yang mungkin tidak pernah kita tempuhi sebelum ini. Misalnya, kita mendapat seorang kenalan yang sedang menuntut di asrama penuh, mungkin kita boleh berkongsi nota yang diberikan oleh guru-gurunya yang lebih berpengalaman dan cara pengajarannya yang lebih efektif. Begitulah juga apabila kita menghadapi masalah, kita boleh meminta pendapat dari mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Gerun juga apabila melihat ada antara remaja yang baru berumur 15 ke 17 tahun sudah mempunyai pasangan. Mereka berani mendedahkan rahsia peribadi kepada pasangan masing-masing termasuklah juga gambar yang mendedahkan aurat. Pasangan lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai ikatan yang sah maka hukumnya masih lagi haram untuk mendedahkan aurat masing-masing.

CINTA, KENAL IBU BAPA

Tiada salah bercinta atau mencari kenalan, tapi biar kena dengan caranya. Paling mudah, kita memberitahu kepada ibu dan ayah. Biar mereka tahu dengan siapa kita berkawan dan bercinta. Tidak salah jika itu adalah untuk kebaikan. Sekurang-kurangnya ibu bapa kita dapat mengawal dari berlaku perkara yang tidak diingini. Mereka lebih dulu makan garam, sudah pasti mereka mempunyai pengalaman yang lebih kurang atau sama dengan apa yang kita lalui sekarang.

Restu mereka mestilah diperolehi sebelum kita berkawan atau bercinta dengan sesiapa. Siapa tahu, dengan restu ayah bonda ia akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Semua itu tidak mustahil kerana Allah telah berjanji, redha Nya ada pada ibu bapa selagi ia tidak melanggar syariat. Jika ibu bapa kita meredhai, maka Allah juga turut akan redha dengan apa yang kita lakukan. Barulah selamat dunia akhirat.

CINTA, BERHATI-HATI

Malang tidak berbau. Namun ia boleh dielakkan jika kita mengambil langkah berjaga-jaga. Jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji manis yang mustahil untuk seseorang itu lakukan. Contohnya, seorang kenalan yang telah kita kenali berjanji akan membina sebuah rumah banglo yang mewah setelah berkahwin, sedangkan usianya baru 16 tahun dan tidak tentu lagi kerja apa yang bakal menantinya. Apatah lagi jika pelajarannya tidak menggalakkan ketika di sekolah. Reality hidup sekarang ini menjadikan pelajaran adalah segalanya. Ada ilmu, pasti akan berjaya. Bermula dengan ilmu, seseorang itu akan mengorak langkah untuk berjaya di dunia dan akhirat. Tapi jika asas tidak kukuh maka tiada apa yang lebih pasti melainkan menghabiskan sisa hidup di atas muka bumi.

CINTA, HANYA SUKA-SUKA

Cinta di usia remaja adalah lebih kepada perasaan suka-suka dan tidak ada lagi hala tuju. Selalunya ia didorong oleh factor persekitaran dan dalaman. Contohnya rakan sebaya, keadaan keluarga dan perasaan ingin mencuba. Mungkin apabila melihat rakan yang lain mempunyai teman istimewa, maka dengan sendirinya perasaan itu akan lahir untuk memiliki teman yang istimewa juga, sedangkan diri sendiri sedar, hati dan iman tidak mampu lagi untuk menanggung segala dugaan. Tekanan keluarga juga mungkin menyumbang ke arah untuk mencari teman yang istimewa lantas menyuburkan perasaan cinta antara mereka. Tekanan yang dimaksudkan adalah kerana mereka tidak mendapat perhatian mahupun kasih sayang yang secukupnya.

CINTA LIMA PERKARA DULU

Cinta Allah S.W.T, cinta Rasulullah S.A.W, cinta ibu bapa, cinta ummah dan cinta kecemerlangan. Menyintai Allah bermakna kita melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Cinta Rasul pula, membanyakkan selawat dan mengamalkan sunnah. Kalau cinta pada ibu bapa, kita akan sentiasa meminta untuk mendapatkan restu dan redhanya kerana keredhaan Allah adalah pada redhanya ibu bapa. Cinta pada ummah pula, kita mengasihi dan mengambil berat akan hal ehwal saudara-saudara kita dan cinta kecemerlangan, kita meletakkan matlamat cemerlang dunia akhirat dalam hidup kita. Bukan sekadar matlamat tapi berusaha untuk mencapainya.

Apabila diri kita faham akan cinta lima perkara, maka kita akan memahami erti cinta yang sebenar. Bukan setakat memahami, bahkan kita akan mencapai cinta yang sejati dan hakiki serta diredhai.

Ulasan