Mencari Cinta ke, Mencari Hati?

“Boringlah, tak ada apa nak buat! Sebab tulah orang couple dengan budak tu,” keluh Amat pada abang yang memarahinya.
Begitulah dunia kebanyakan remaja sekarang. Hanyut dibawa arus dunia kerana mencari cinta yang belum pasti. Bukan sahaja mereka, bahkan keluarga juga bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Mengapa boleh jadi begitu? Ke mana hala tuju sebuah cinta? Atau pencarian yang tidak terhala? Kita mencari cinta, atau mencari hati?

CINTA ITU BUTA

Kerana cinta, apa sahaja sanggup dilakukan. Lautan api sanggup direnangi. Hutan belantara sanggup diredahi. Walaupun sebenarnya, mas kahwin pun belum tentu dapat dicari. Janganlah kerana cinta, kita menjadi buta. Tidak nampak apa yang reality dan fantasi. Berpijak di bumi yang nyata. Ukur baju di badan sendiri. Kalau duit belanjapun masih ditampung keluarga, janganlah kerana cinta, kewarasan ditolak ke tepi.
Apabila cinta menjadi matlamat maka ramailah yang akan menjadi mangsa. Ibu bapa, kaum keluarga, sahabat handai, teman dan taulan. Segala nasihat mereka akan menjadi seperti mencurahkan air ke daun keladi. Jika dulu boleh berhubungan sebagai adik dan abang, tapi kerana cinta, abang tiada bermakna. Walaupun pernah satu ketika si abang berkorban segalanya untuk si adik. Hanya kerana cinta, segala pengorbanan itu hanya tinggal kenangan. Si adik berubah bagaikan kacang lupakan kulit. Adakah itu ertinya cinta? Bercinta tapi keluarga terpisah pula.

IKUT HATI MATI

Ada pula yang hanya bersandarkan hati. Pastikan hati itu terisi. Hati yang kosong akan mati. Itulah yang dinamakan qalbun. Maksudnya berbolak balik. Adakalanya kata hati itu betul dan adakalanya ia akan menjadi sesat. Bahaya jika hanya bersandarkan pada hati semata.
Imam Syafie berpesan, “ Hati adalah raja di dalam diri. Oleh itu lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.” Nabi Muhammad S.A.W juga bersabda, “ Dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging, apabila daging itu baik, baiklah seluruh anggota badan dan jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah itulah hati.”

IKUT NAFSU LESU

Nafsu merupakan musuh ketat kepada akal. Mereka seringkali berkelahi untuk mengawal hati. Kerana jika nafsu menguasai hati, hati akan menjadi jahat. Berbeza jika akal yang menjadi penasihat, hati itu akan menjadi baik.
Hanya dengan ilmu, kita mampu untuk melawan nafsu. Begitulah juga jika kita seringkali menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan juga menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Ingatlah kematian daripada hal-hal kehidupan. Kebaikan diri dan keluarga, rahsiakan. Keaiban atau keburukan orang lain, hanya kita yang tahu. Begitulah wasiat Imam Syafie untuk melawan nafsu dan menjaga hati.

GUNA AKAL DAN IMAN

Akal semata tidak mencukupi untuk mentadbir jika tiada iman. Iman sebagai pemandu agar tindakan tidak bertentangan dengan Islam sebagai cara hidup. Gabungan akal dan iman akan menjadikan hati begitu bersih dan sedia untuk menerima cinta.
Ramai antara kita yang ada akal tapi tiada iman. Itulah merupakan penyebab utama mengapa akal kalah dengan nafsu lantas nafsu menguasai hati. Kesannya, tiada lagi kewarasan dalam bercinta. Maka terjadilah masalah social misalnya bersekedudukan, anak luar nikah, tangkap basah, haruan makan anak dan pelbagai lagi. Semuanya berpunca dari ketiadaan iman. Mengapa itu yang kita cari? Sedangkan kita punya peluang untuk beriman dan menjaga iman. Tunaikanlah sebelum kita terlewat. Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan pada umatnya menggunakan lima kesempatan sebelum tiba lima bencana iaitu muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.

TANYA HATI DAN BUDI

Bila hati ditadbir oleh akal berlandaskan iman, berbudilah dulu pada mereka yang sepatutnya. Keluarga, terutama ibu dan ayah merupakan golongan yang pastinya memerlukan perhatian dan toleransi daripada kita sebagai anak. Mereka tidak pernah menyebut, tapi kita akan memahami jika kita benar-benar anak mereka. Hati yang suci dan murni tidak berkira untuk berbudi. Tidak kira untuk siapa, hanya matlamat budi yang utama.
Ketika itu, cinta yang berputik tiada lagi menjadi keraguan. Kerana persedian yang rapi menjadikan kita cukup matang untuk menghadapi sebarang situasi. Hubungan direstui, diredhai dan diberkati. Itulah yang kita cari. Kita tidak mencari cinta yang buta tapi kita mencari hati yang suci.

Ulasan