Jujurlah Padaku

Lembayung senja kekadang membuatkan hati kita gusar apabila orang yang dirindui atau disayangi masih tidak dapat dihubungi. Entah apalah yang sedang dia lakukan? Sms tidak dibalas. Panggilan tidak dijawab. Segalanya membuatkan perasaan menjadi gundah dan gulana. Setiap detik dihitung, setiap masa dikira. Menantikan jawapan adakah dia masih jujur untuk bersama kita.

JUJUR ITU SEKSI

Ramai yang beranggapan seksi itu hanya pada penampilan. Kejujuran juga merupakan salah satu elemen yang menjadikan seseorang itu seksi. Kita jujur pada diri. Kita menampilkan apa yang ada pada diri kita sendiri. Kita tidak meniru atau menjadi orang lain. Kita adalah kita. Jika badan kita besar, tidaklah perlu berlagak seperti orang kurus. Ataupun sebaliknya. Jika kita belum mampu untuk mandapatkan sesuatu, tidak perlulah kita menjadi seorang Mat Jenin. Mengangankan bulan jatuh ke riba.

JUJUR ITU PEMANIS

Kalau makanan itu ada pemanisnya, begitu juga dengan percakapan. Bukan dengan ayat-ayat yang manis sahaja tapi pada kejujuran kata-kata. Berapa ramai antara kita yang jujur bila berkata? Kononya menjaga credibility, kita perlu berbohong untuk tidak menjatuhkan maruah kita. Apa gunanya apabila rahsia terbongkar. Credibility entah ke mana, kehancuran pula yang akan tiba. Begitulah juga dengan perhubungan. Salah ke untuk menyatakan yang sejujurnya? Tidak salah, malah mulia diri kita apabila kita meletakkan kejujuran sebagai matlamat. Namun perlu berhati-hati jangan sampai menjadi seorang yang ujub dan takbur. Terlalu jujur memberitahu semua kebaikan yang ada pada diri. Jelasnya, kita perlu jujur apabila ditanya. Tidak perlu berselindung. Terangkan apa yang sepatutnya ditanya. Ia akan membuatkan lebih dihormati dan dikasihi. Dari berselindung, apabila terkantoi, akan dibenci.

JUJUR ITU KONKRIT

Kalau binaan yang dibina berasaskan batu konkrit. Perhubungan menjadikan kejujuran itu sebagai batu asas yang konkrit. Akan bertahan lama. Tiada sangsi kerana masing-masing mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh pasangan masing-masing. Begitu juga dalam keluarga. Apabila kita jujur, ibu bapa akan memberikan sepenuh kepercayaan kepada kita. Berhati-hati pula apabila kita cuba untuk mengkaburi mata kedua orang tua kita. Bukan satu pilihan yang bijak kerana Tuhan akan membalas ‘cash’ di dunia lagi. Jika sentiasa menjaga hubungan dengan orang tua, hubungan dengan Tuhan juga akan menjadi mudah. Keberkatannya ada.

JUJUR ITU PELURU

Sedar atau tidak, sebenarnya kejujuran itu akan dapat melawan kebatilan. Bukan sahaja dalam percakapan bahkan dalam segala perbuatan kita. Contohnya jika kita berniaga. Peniaga yang jujur akan mencapai keuntungan berlipat kali ganda berbanding dengan mereka yang mengamalkan riba. Riba adalah contoh amalan penipuan dalam perniagaan. Sebab itulah Islam mengharamkan riba. Kejujuran mampu menewaskan penipuan.

JUJUR ITU ROMANTIS

Mereka yang jujur juga boleh dikategorikan sebagai seorang yang romantic. Pandai menjaga hati orang lain. Memahami mereka yang juga jujur kepadanya. Sememangnya kita perlu berlaku jujur pada orang yang kita sayangi. Begitulah juga dengan mereka yang disayangi. Jujur perlu dibalas dengan kejujuran. Janganlah menyeksa mereka yang berlaku jujur dengan kita dengan satu pembohongan. Zalim kita, kerana meletakkan sesuatu perkara itu bukan pada tempatnya. Allah tidak suka pada orang yang zalim. Doa mereka yang dizalimi itu juga makbul. Jadilah seorang yang romantic dengan memhami kejujuran yang dilontarkan. Tidak perlu kita menyatakan kita seorang yang romantic tapi dengan romantic itu akan muncul dengan kejujuran yang kita lontarkan.

JUJUR PADA TEMPATNYA

Adakalanya kita perlu menjaga kejujuran agar tidak menjatuhkan maruah kita. Misalnya, keaiban yang ada pada sahabat kita, tidak perlu kita ceritakan pada orang lain apabila ditanya. Biarlah ianya menjadi rahsia kita dan sahabat kita. Janganlah kerana terlalu jujur, semuanya kita sampaikan kepada orang lain. Ia bukan menjernihkan bahkan mengeruhkan keadaan. Itu bukan dinamakan sebagai seorang yang jujur tapi seorang yang tidak boleh dipercayai. Secara tidak langsung menjatuhkan maruah diri kita sendiri. Kan malu tu!

JUJUR PADA AGAMA

Paling penting kejujuran dalam mengamalkan agama kita sebagai cara hidup. Solat, puasa, zakat dan semua amal ibadat kita. Adakah kita jujur melaksanakannya? Janganlah kita jujur hanya untuk dunia semata tapi kita lupa kujujuran di akhirat. Syurga itu nyata, neraka itu juga nyata. Dunia ini adalah ladang untuk akhirat. Biar sebesar zarah pun kejahatan yang dilakukan, akan diperhitungkan di akhirat kelak. Jangan segan melakukan kejujuran dan jangan bangga dengan melakukan penipuan. Allah melihat setiap perlakuan hamba Nya, biarpun kita tidak dapat melihat kesemuanya. Khaliq mengetahui, itu pasti.

Tahniah bagi mereka yang berlaku jujur. Bagi mereka yang masih menjadi mangsa insan yang bertopengkan kejujuran, sabarlah. Satu hari, pasti kejujuran itu akan terbukti. Biar takdir yang menentukan. Berdoalah kepada Allah supaya mereka yang masih tidak jujur dipertunjukkan jalan kejujuran, dilindungi serta dirahmati.

Ulasan