Aku Terima Nikahnya...versi penulis

“Wei cepatlah, nanti lambat lak,” aku menyapa Wan. SMS yang aku terima menyatakan Arip kemalangan, amat mengejutkan. Dia salah seorang peguam pelatih di salah sebuah firma guaman di ibu negara memang membuatkan dia sering berulang alik dari mahkamah ke pejabatnya. Memandu motor dari Kuala Lumpur ke Klang, Shah Alam dan adakalanya luar dari Lembah Klang merupakan perkara biasa baginya. Hiruk pikuk dan kesibukan kota sudah sebati dengannya. Dia juga antara pemandu yang cermat dan mementingkan keselamatan. Itulah yang membuatkan aku terkejut apabila mendapat berita dia kemalangan.

“Assalamualaikum, engkau apa khabar?” aku bertanya khabar pada sahabatku yang terlantar di katil Hospital Besar Kuala Lumpur. Dia hanya menganggukkan kepala. Matanya dipejam semula.

“Makcik apa khabar?” aku menyapa emaknya yang setia menemaninya.

“Ingat saya lagi tak? Saya ni, Eddy kawan Arip,” aku menjelaskan kepada emaknya. Emaknya hanya senyum dan menganggukkan kepala tanda mengingati namaku. Jelas wajahnya yang suram menunjukkan dia keletihan. Mungkin kurang tidur kerana menemani anak bujangnya yang terlantar di hospital. Tiada seorang ibu pun yang senang hati apabila anaknya terlibat dengan kemalangan. Apatah lagi apabila kecedaraan itu menyebabkan anaknya tidak sedarkan diri selama beberapa hari. Biar dihidangkan dengan koktail mahupun hidangan hotel lima bintang, tidak pernah teringin untuk menjamahnya. Apa yang diinginkan adalah untuk melihat seorang anak kembali sembuh seperti biasa.

Arip tidak ada adik beradik perempuan. Kesemua adik beradiknya adalah lelaki. Mujurlah ada Shana, tunang Arip yang setia, menemani emaknya di hospital. Sesekali dia meminta emak Arip berehat merebahkan diri di tempat sembahyang untuk melepaskan penat. Dia mengambil alih untuk menemani Arip yang tidak mampu untuk makan. Kedua-dua rahang atas dan bawah terpaksa dijahit kerana tulang rahang disebelah bawah patah. Bukan sahaja dia tidak mampu untuk makan malahan cara percakapannya bukan lagi seperti biasa. Setiap perkataan yang diucapkan perlu didengar dengan teliti agar tidak salah faham.

TERKEJUT

“Em..ko sape?” tiba-tiba Arip bertanya dalam keadaan mulutnya yang tidak boleh dibuka. Aku terkejut dengan soalan yang ditanyakan Arip.

“Mengapa Arip bertanya begitu?” Aku mula pelik dengan tindakannya. Takkan sahabat sendiri sudah tidak dapat dikenalinya. Emaknya mula mengalirkan air mata. Seperti ada sesuatu yang tidak aku ketahui.

“Arip mengalami gegaran otak yang menyebabkan dia akan hilang ingatan buat sementara waktu. Doktor mengatakan ingatannya akan beransur pulih dalam masa dua ke tiga bulan lagi. Saya sendiri pun dia tidak kenal,” Shana menjelaskan keadaan sebenar mengapa Arip bertanya demikian.

Buat pertama kali dia membuka mata setelah sedar dari koma, emaknya sendiri juga tidak dikenalinya. Alangkah sedihnya seorang ibu apabila anak yang dikandungnya selama sembilan bulan sepuluh hari sudah tidak mengenalinya lagi. Itulah dugaan Allah Yang Maha Kuasa kepada seorang ibu yang mengasihi dan menyayangi anaknya. Apatah lagi untuk seorang kekasih, Shana yang ingin diuji keikhlasan cintanya kepada Arip. Adakah dia seorang yang setia kerana Allah, ataupun sebaliknya? Janganlah biarkan hati selembut sutera disirami embun berwarna hitam.

“Aku ni, Eddy rip. Engko ingat tak?” aku cuba mengingatkannya kembali. Namun dia hanya menggelingkan kepala. Aku membiarkannya sahaja. Aku tidak memaksanya kerana pesan doktor, dia tidak boleh dipaksa atau keadaan akan menjadi lebih buruk.

“Dah lama ke sampai?” perlahan-lahan dia bertanyakan kepadaku. Aku membalas seperti biasa, seolah-olah dia mengenali aku. Harapan aku supaya ingatannya akan kembali semula. Namun perbualan itu tidak membuahkan hasil. Latar belakang keluarga, pekerjaan, tempat aku belajar, semua ditanyanya. Dia langsung lupa yang aku merupakan rakan sekelasnya semasa di universiti dulu dan kami sememangnya rapat. Aku merasakan seperti orang baru yang dikenalinya. Nasib yang sama juga dialami oleh Shana, tunangnya. Bagai gurun sahara yang tandus, begitulah air mata Shana yang telah kering apabila mengetahui Arip sudah tidak mengenalinya lagi.

IKHTIAR

Dari Hospital Kuala Lumpur, berpindah ke Hospital Ampuan Rahimah supaya lebih dekat dengan abangnya. Di samping itu, pantang sahaja mendengar ada bomoh yang boleh mengubatinya, pasti bomoh itu dicari. Tidak kira berapa belanja yang habis, yang penting Arip pulih seperti sediakala. Aku juga tidak ketinggalan untuk sentiasa melawatnya. Secara perlahan-lahan ingatan Arip semakin pulih.

Usaha yang dijalankan oleh keluarganya yang tidak pernah mengenal erti jemu mencari penawar, membuatkan Arip pulih dengan perlahan-lahan. Begitulah pesan ulama’, siapa yang berusaha pasti akan mendapat hasilnya. Kita hanya perlu bersabar untuk mendapatkan hasilnya. Mungkin hadir dalam waktu yang cepat ataupun ia akan muncul di hujung waktu.

Shana masih lagi setia bersama dengan Arip. Melawat Arip adalah rutin hariannya. Pagi dia akan ke tempat kerja dan petang setelah selesai tugas, sambung pula bersama Arip. Itulah ikhtiar Shana. Biarpun Arip masih tidak mengingati bahawa dia sudah bertunang namun dia dapat merasai Shana adalah antara insan yang istimewa, penyeri hatinya. Itulah ungkapan yang telah Arip nyatakan padaku. Aku hanya membiarkan sambil tersenyum supaya Arip mengingati kenangan silamnya bersama Shana dengan sendirinya. Aku kagum dengan Shana yang setia pada Arip. Bukan mudah untuk berjumpa dengan seorang gadis yang setia pada tunangnya biarpun tunangnya bukan lagi seperti dulu. Keadaan fizikal mukanya yang telah berubah dan kondesi ingatanya juga yang tidak sekuat dulu, semuanya diterima Shana dengan penuh tabah. Segalanya diserahkan kepada Yang Maha Esa.

TIBA MASANYA

Kuasa Allah penentu segalanya. Kad jemputan yang dihantar ke rumahku mengukir senyuman yang tidak pernah aku sangkakan. Walimatulurus antara Mohd Arip Faisal dan Nur Shana Ismail begitu terharu aku rasakan. Mereka akhiri zaman bujang mereka dengan ikatan yang sah. Sebuah masjid indah terbina, itulah ibarat bagi pasangan yang mendirikan rumahtangga.

“Aku terima nikahnya…” berkotak-kotak air mataku cuba ku tampung apabila aku mendengar lafaz qabul dari sahabatku Arip. Apatah lagi melihat wajah Shana yang sungguh ayu berpakaian serba kuning. Tabah, sabar dan redha dengan ketentuan Tuhan, yakin setiap kejadian itu ada hikmahnya.

Keperitan, kesengsaraan, kedukaan dan kegelisahan ketika Arip dilanda musibah berakhir dengan suatu kebahagian. Arip sudah pulih dengan sepenuhnya. Dia kini menyambung tugasnya sebagai seorang peguam di firma yang sama. Kenangan pahit bagi dirinya akan dijadikan pedoman dan pengajaran di masa yang akan datang.

Ulasan