Benarkah Pilihanku...

Perjalanan pergi ke sekolah amat selesa. Sebelas pagi merupakan waktu yang bukan lagi waktu sesak di bandar Kuala Lumpur. Namun masih ada jalan-jalan tertentu yang sentiasa sesak tidak kira waktu malam atau siang. Hari ini, hari Rabu. Kelas tidak bermula seperti biasa kerana waktu pertama adalah waktu pemahaman agama. Semua pelajar dan guru dikehendaki untuk berkumpul mengikut agama masing-masing. Dalam kelas ini, murid-murid dan para guru akan diberikan tazkirah atau peringatan supaya mengamalkan semua ajaran Islam. Pelbagai aspek diterapkan terutama rukun Islam dan rukun Iman. Namun ada juga yang kepala batu yang hanya tidur ketika ustaz menyampaikan tazkirah tersebut. Entahlah, nak kata dah pandai, ada juga yang tak pandai membaca fatihah pun.

Aku hadir seperti biasa. Duduk di kerusi yang telah disediakan oleh pelajar dan mendengar dengan teliti setiap kata yang disampaikan oleh muzakkir. Adakalanya terkhayal juga aku apabila tajuk yang disampaikan begitu membosankan. Kali ini aku gembira kerana ustaz akan bercerita pasal isra’ dan mi’raj. Bukan semua cikgu tahu pasal sejarah Nabi itu.

ADA ORANG MENGINTAI

Aku terpandang seorang pelajar yang sedang mengintai disebalik pintu belakang. Aku ingatkan pelajar Islam yang cuba untuk menyorok.

“Tak payahlah awak nak menyorok kat belakang pintu tu. Awak ingat saya tak nampak!” Aku bersuara supaya dia kembali ke dalam kelas. Namun tidak ada tindakan yang aku lihat. Dengan perlahan aku bangun dan pergi ke arah pelajar tersebut.

“Eh Bryan, apa awak buat kat sini?” aku agak terkejut kerana bukan pelajar Islam, tetapi pelajar berbangsa Cina yang beragama kristian.

“Cikgu jangan marah saya,” pintanya.

“Saya bukan nak lari dari kelas agama saya tapi saya nak dengar cerita Nabi Muhammad.” Dia cuba untuk menerangkan kepada aku kenapa dia berada di situ. Kalau mengikut undang-undang sekolah yang ditetapkan, memang salah sekirang murid berada di luar kelas ketika sessi pembelajaran sedang dijalankan. Untuk mengelakkan dari dia didenda, aku membawanya bersamaku ke dalam kelas. Namun aku minta dia duduk di belakang guru-guru agar tidak dilihat oleh pelajar yang lain. Tambahan lagi dia beragama kristian. Aku takut nanti ia akan menimbulkan isu yang sensitif pula.

CUBA DEKATI

Tindakan Bryan itu membuatkan aku tertanya-tanya, apa masalah dia sebenarnya? Banyak lagi persoalan yang bermain di mindaku.

“Bryn, dah lama ke kamu curi-curi dengar ceramah dalam kelas agama Islam tu?” Aku bertanya kepadanya apabila dia bersama aku dalam bilik guru. Aku merasakan ada sesuatu yang cuba untuk disembunyikannya.

“Kalau saya bagitahu cikgu, cikgu marah saya tak?” dia cuba untuk mendapatkan kepercayaan daripadaku.

“Buat apa saya nak marah kalau benda yang kamu bagi tahu itu, benda yang betul dan benar,” aku cuba untuk menerangkan kepadanya.

“Saya sebenarnya tertarik dengan cerita-cerita Islam yang banyak keajaiban. Bagi saya rugi kalau saya tak tahu dengan mendalam apa yang tersirat dalam ajaran Islam. Tapi masalahnya saya tak boleh nak membacanya di rumah, kalau mak dan ayah saya tahu, pasti mereka akan marah saya. Mak saya seorang yang garang. Bila saya baca buku Islam, saya rasa tenang sangat. Tak tahulah kenapa cikgu? Tak seperti saya baca buku-buku yang lain. Itulah yang saya pelik tu cikgu,” dia cuba menerangkan apa yang berlaku dan apa yang telah menarik perhatiannya untuk mendengar ceramah agama untuk pelajar Islam. Nampak gayanya dia seperti tertarik dengan ajaran Islam. Tapi betul ke? Sekali lagi persoalan bermain di fikiranku.

“Sejak bila lagi awak mula mengkaji tentang agama Islam ni?” aku cuba bertanya dengan lebih lanjut.

“Dah lama sebenarnya cingu, tapi saya takut nak bagi tahu orang lain sebab saya rasa nanti ia akan menyusahkan orang lain pula. Apatah lagi saya ni beragama kristian.”

“Kenapa awak tak mendalami ilmu agama awak je?” aku bertanya lagi.

“Saya dah baca banyak pasal agama saya tapi tak sama dengan agama Islam. Saya dapat melihat agama Islam mengandungi ajaran yang indah dari agama-agama yang lain.”

“Eh Bryan, awak kena hati-hati Bryan. Jangan main cakap je. Awak kena ada banyak ilmu sebelum awak membandingkan sesuatu agama dengan agama yang lain,” aku cuba untuk memberikan peringatan kepadanya supaya dia tidak serkap jarang sahaja.

“Itu saya tahu cikgu. Kalau cikgu nak tahu lagi, saya pun ada juga pergi masjid dengar ceramah agama. Tapi saya tak adalah masuk dalam, saya duduk kat luar je,”dia tersenyum kepadaku.

Aku dapat rasakan dia begitu tertarik dengan ajaran Islam. Bukan sahaja dia mencarinya sendiri bahkan dia juga rajin untuk mendengar cerita rakan-rakannya. Dia banyak mengetahui tentang sejarah Islam yang pelajar Islam sendiri tidak tahu akan kisahnya. Kekadang pelajar Islam sendiri bertanya kepadanya tentang tarikh dan juga kisah yang berlaku pada zaman silam. Entahlah, dunia ni dah terbalik agaknya.

MENGANTUK DISORONG BANTAL

Aku cuba untuk membantu Bryan. Bagiku ia adalah tanggungjawab sebagai umat Islam untuk membantu mereka yang benar-benar sedang mencari sinar hidayah Islam. Aku memberikan pelbagai buku panduan mengenai ajaran Islam. Apatah lagi buku yang menyentuh tentang rukun Islam dan rukun Iman.

Dia juga banyak bertanyakan kepadaku sekiranya dia tidak faham. Aku juga telah berpesan kepadanya. Kalau nak mencari ilmu biarlah berguru, kalau tidak sesat jadinya. Setiap kali waktu rehat, dia akan berjumpa denganku untuk berbincang tentang buku atau pelajaran yang baru dipelajarinya. Aku juga begitu senang untuk mendekatinya kerana dia adalah orang yang mudah didekati.

Kekadang aku membawanya ke muzium kesenian Islam untuk menunjukkan barang atau khazanah Islam yang lampau. Mungkin ada yang dia tahu dan juga yang dia tidak tahu. Riak mukanya yang ceria menunjukkan dia begitu gembira apabila dapat mengetahui sesautu benda yang baru. Apatah lagi mengenai sejarah Nabi Muhammad S.A.W. Aku juga kekadang kagum dengan dirinya yang tidak pernah jemu untuk bertanya dan mencari sebanyak yang mungkin maklumat mengenai ajaran Islam. baginya, semakin hari semakin ilmunya bertambah. Mungkin berkat keikhlasan dia dalam mencari ilmu.

“Allah itu Maha Adil,” bisik hatiku.

Kekuasaan Allah Taala yang membuka hatinya untuk menuntut ilmu lain dari agamanya merupakan satu keajaiban yang tidak dapat difikirkan oleh manusia biasa.

RAHSIA TERBONGKAR

Rahsia yang selama ini disimpan erat oleh dia dan aku akhirnya terbongkar. Ibu dan ayahnya telah terjumpa semua buku yang dibacanya. Teruk Bryan dibelasah oleh ayahnya yang tidak setuju dengan tindakannya. Pelbagai tindakan yang telah ayahnya lakukan termasuklah dengan tidak membenarkan Bryan untuk keluar dari rumah. Aku sendiri sudah tidak dapat membawa Bryan keluar berjalan-jalan. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia berterus terang dengan ibu bapanya mengenai apa yang dihajatinya selama ini, menganut agama Islam. Namun ketakutan menjadikan dirinya terus menyembunyikan perkara yang sebenar.

Dia cuba untuk menafikan apa yang telah mak dan ayahnya ketahui. Dia menyatakan bahawa buku-buku tersebut adalah untuk hadiah kepada kawan-kawannya yang beragama Islam. Pening juga mak dan ayahnya untuk memahami apa yang diceritakan oleh Bryan. Mereka tidak berpuas hati lalu berjumpa dengan pengetua sekolah. Akhirnya aku dipanggil untuk berjumpa dengan mak dan ayahnya.

Setelah sekian lama aku aku berfikir panjang, aku dapat rasakan yang sudah tiba masanya aku memberitahu hal yang sebenar kepada mak dan ayahnya. Aku menerangkan dengan penuh hikmah supaya mak dan ayahnya tidak terasa dengan tindakan anaknya. Bryan hanya tunduk dengan seribu bahasa. Aku yang banyak menjelaskan kepada ayah dan ibunya mengapa Bryan mengambil jalan untuk merahsiakan perkara ini dan juga untuk menukar agama.

Belum sempat aku bercerita dengan lebih lanjut, air mata si ibu jatuh berlinangan. Si ayah hanya mendiamkan diri dan memandang sayu anaknya itu. Aku terus menerangkan kepada si ayah dan ibu bahawa ini adalah untuk kebaikan si anak, Bryan. Jika mereka sayangkan Bryan, mereka harus melakukan pengorbanan. Aku menerangkan juga bahawa pengorbanan ini bukanlah pengorbanan yang sia-sia. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk lupa kepada asal usul dirinya. Bahkan keluarga mereka akan bertambah harmoni dan bahagia sekiranya Bryan dengan ikhlas mengamalkan semua ajaran Islam yang dipelajarinya. Aku juga menyuarakan keyakinan aku kepada kedua ibu bapanya bahawa Bryan mampu untuk membawa dirinya dengan agama yang baru. Aku memandang akan semangat yang ditunjukkan Bryan untuk menuntut dan mencari ilmu Islam yang sempurna.

CABARAN SAUDARA BARU

Islam tidak pernah memaksa orang untuk menganut agama Islam. Namun bagi penganut agama Islam, amalan sebagai seorang muslim hendaklah dijalankan dengan sepenuhnya dan bukan sebahagian sahaja. Itulah yang aku cuba terangkan kepada Bryan sebelum dia mengambil keputusan untuk menganut agama Islam. Dia mengakui bahawa dia faham akan kenyataan itu. Dia sendiri telah mengakui sebelum ini belajar berpuasa sama seperti kawan-kawan Islamnya yang lain. Aku bersyukur pada Tuhan kerana dia telah diberikan hidayah oleh Allah untuk melihat jalan yang benar.

Akhirnya dia mengambil keputusan muktamad untuk menukar agamanya kepada agama Islam. Majlis yang sungguh bermakna itu juga turut dihadiri oleh ibu bapanya yang menyaksikan pengucapan syahadah oleh Bryan yang kini bernama Mohd Kamal Bryan Abdullah. Tasik air mata jelas di wajah ibunya. Kotakan cahaya terpancar di mata ayahnya yang menahan sebak di dada. Aku faham ibu dan ayah mana yang tidak sayang dan kasih kepada anaknya. Tambahan lagi sekarang ini mereka tidak lagi satu agama.

Besar sungguh pengorbanan ayah dan ibu, biarpun hidayah untuk mereka belum sampai dari Tuhan yang Esa. Mungkin bermula dengan anak, akan terbuka pula hati mereka untuk memeluk Islam yang satu. Teringat aku kisah Nabi Muhammad S.A.W dengan bapa saudaranya yang begitu disayanginya. Biar pun tidak memeluk agama Islam sehingga ke akhir usianya namun dia senantiasa memberikan kata semangat dan perangsang untuk Nabi terus berjuang. Insya Allah, mungkin satu hari nanti ibu dan bapa Bryan pula yang akan melafazkan kalimah syahadah.

Ulasan