Kisah aku dan dia...

Orang kata menunggang itu seronok. Tapi apa yang seronoknya? Bagi peminat motor, memang menunggang motor itu menyoronokkan dan memberikan kepuasan. Tiada yang dapat memuaskan hati mereka selain daripada menunggang motor kesayangan di jalan raya. Bairlah terasa bahaya sekali pun namun bahaya yang dapat dielakkan itulah yang akan memberikan kepuasan pada diri.

Begitulah juga pandangan Mohd Asri bin Mazlan, 21 tahun dari Kuala Lumpur. tiga tahun yang lepas, dia membeli sebuah motor idaman remaja ketika itu Yamaha 125z. Biarpun hanya second hand tapi cukup gembira bagi dirinya. Apatah lagi dirinya remaja ketika itu. Memang sesuai seungguh dan kena dengan jiwanya.

Motor itu juga merupakan hadiah untuknya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Tanpa berfikir panjang, motor yang diberikan oleh abahnya itu dibawa ke tempat pengajiannya. Biarpun ketika itu dia masih menuntut di peringkat sijil, namun itu semua ditolak ke tepi. Yang penting baginya, motor itu berada di sisinya.

PELESIT

Asri memberikan gelaran pelesit kepada motornya. Khabarnya, motor itu tidak pernah dibawa perlahan. Bukan tidak boleh tapi atas dasar kepuasan. Baginya ketika itu, bila menaiki motor, mesti memecut dan mencari kepuasan ketika menunggang. Jika dibawa perlahan, dia merasa tidak puas. Bahkan jiwanya akan meronta apabila melihat orang lain pula yang memandu laju.

Dia akan menjadi runsing apabila tiada lagi duit dalam sakunya untuk mengisi minyak ataupun untuk menyelenggara motornya. Telah dipesan abahnya, telah diingatkan juga maknya. Motor yang dipandunya memerlukan kos yang tinggi. Bukan sahaja minyak tapi penyelenggaraannya juga memerlukan anggaran kos yang besar. Tapi bila hati dan perasaaan tidak dapat dikawal, apa pun yang dipesan tidak menjadi. Asri tetap dengan pendiriaannya.

TIGA TAHUN

Setelah tiga tahun berlalu, Asri semakin dewasa. Dia mula sedar apa yang telah dilakukannya di Kuantan semasa pengajiannya di sana, banyak yang sia-sia. Apatah lagi mengenai motornya. Masanya lebih banyak dihabiskan bersama motor kesayangannya. Tambahan pula apabila dia ditimpa musibah ketika menunggang motosikalnya. Ini bukanlah kali pertama tapi musibah kali inilah yang menyedarkan dirinya betapa Pengasihnya Allah Taala itu.

Kejadian berlaku ketika dia pulang dari kedai fotostat. Hatinya gembira apabila dia dipanggil untuk ditemuduga jawatan pembantu akaun di Putrajaya. Dia hanya ingin mendapatkan pekerjaan. Niatnya adalah untuk membantu abah dan melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Kagum mendengar semangat dan niatnya. Dia sedar, dia telah banyak menyusahkan kedua ibu bapanya dan inilah masa untuk dia menebus kembali dan membalas budi mereka. Namun niat dan semangat itu tetap diuji lagi. Datang sebuah kereta yang entah dari mana menyeberang jalan. Asri mengelak sehingga menyebabkan dia terlanggar pembahagi jalan dan tercampak hampir 10 meter. Sijil-sijil yang di fotostatnya tercampak dan bertabur di jalan. Dia tidak memikirkan motornya lagi ketika itu kerana apa yang penting baginya adalah sijil-sijil yang hendak dibawa ke temuduga. Darah yang meleleh dikakinya, diabaikan. Terhinjut-hinjut dia mengutip satu demi satu salinan sijil yang telah difotostatnya. Mujur ada orang yang membantu. Lama kelamaan Asri tidak dapat berjalan lagi. Kesakitannya di kakina mula terasa. Dia meminta untuk dibawa ke hospital.

Pemandu kereta yang menyebabkan Asri kemalangan membanyanya ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Setelah hampir sejam dirawat, kaki Asri yang berlubang, dijahit. Tulang tumitnya retak dan tisu ligamennya koyak. Inilah kejadian yang menduga dan menyedarkan Asri.

GUNA TONGKAT

Hari pertama Asri langsung tidak boleh berjalan. Mungkin kerana hentakan di belakangnya menyebabkan dia sakit untuk bangun dan bergerak. Abahnya yang sedang berkursus pulang ke rumah semata-mata kerana Asri dan membawanya berurut. Sibuk macam mana pun, anak tetap anak. Itulah pengorbanan seorang abah yang tidak dapat dijual beli. Selesai berurut barulah Asri dapat bergerak dan berjalan perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat. Itulah kali pertama dia menggunakan tongkat sebagai alat bantuan untuk bergerak.

Tarikh 26 June 2006, Asri tetap pergi ke Putrajaya untuk ditemuduga. Ditemani abahnya, perlahan-lahan Asri mengatur tongkatnya untuk membantu dia berjalan. Mata calon-calon yang lain memandang ke arahnya. Dia hanya tersenyum. Hatinya berkata, “janganlah jadi macam aku,”

Sementara menunggu giliran untuk ditemuduga, kenangan lama terbayang kembali. Harapan abah, harapan mak, harapan keluarga, semuanya tergambar di benak fikirannya. Banyak yang diabaikannya. Apatah lagi ketika Asri menuntut di Kuantan.

“Ya Allah, apalah nak jadi dengan aku ni?” hati kecilnya berbisik. Berkotak pula anak matanya penuh air mata. Tanpa dibendung, air matanya mengalir ke pipi.

“Bah, maafkan angah bah,” dia memeluk abah sambil mencium pipinya meminta restu sebelum masuk ke bilik temuduga. Dia berazam untuk cuba yang terbaik bagi mendapatkan jawatan yang dipohon.

REZEKI

Asri meneruskan pembelajarannya seperti biasa di Politeknik Seberang Prai diperingkat Diploma Perakaunan. Pada masa yang sama dia berdebar menantikan keputusan temuduganya. Jika dia diterima, dia akan menangguhkan terlebih dahulu pengajiannya atau menukarkannya ke bentuk pengajian jarak jauh. Baginya dia ingin benar membantu keluarganya. Tambahan lagi along, kakaknya yang sulung akan mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan. Adik-adiknya seramai tiga orang masih lagi menuntut di bangku sekolah. Semuanya memerlukan duit.

Dia ingin mengganti semula duit yang telah dia gunakan semasa dia menuntut di Kuantan terutamanya, yang hanya lebih kepada keseronokkan. Dia sedar selama ini dia banyak menyusahkan orang lain. Kini tiba masa untuk dia memudahkan dan bukan menyusahkan.

Masa yang dinantikan menjelang tiba, dia mendapat panggilan telefon dari abah.

“Angah, rezeki engkau belum ada lagi ngah. Engkau memang kena habiskan belajar dulu kat Penang tu,” Asri menerima keputusan yang disampaikan dengan tenang. Mungkin belum tiba masanya.

Dia yakin rezeki Allah itu ada di mana-mana, yang penting usaha, ikhtiar dan tawakal. Dia bersyukur kerana dia makin sedar dengan apa yang telah dilaluinya. Dia berazam untuk tidak mengulangi apa yang telah dilaluinya sebelum ini.

“Setiap perkara yang dimulai dengan baik akan berakhir dengan baik,” itulah pesan seorang guru kepadanya. Seseungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba Nya.

Ulasan