Bila Cinta Tak Terbalas...

“Abang, apa yang ayu nak buat ni bang. Afiq nak clash!”Ayu cuba untuk mengadu nasibnya. Dia menjadi serba salah apabila kekasihnya meminta untuk berpisah. Mungkin tidak ada jodoh. Realiti hari ini menceritakan bahawa ramai yang kecewa apabila mereka terpisah daripada kekasihnya. Ada antara mereka yang cuba untuk melakukan sesuatu perkara yang diluar batasan seperti bunuh diri, mogok lapar, lari dari rumah dan pelbagai lagi hanya kerana ditinggalkan kekasih ataupun kekasih sudah berpunya. Satu persoalan yang harus dibangkitkan ialah inikah yang diajar oleh Islam sekiranya kita ditimpa musibah.


JANGAN CEPAT MELATAH
Orang tua selalu berpesan, hidup jangan cepat melatah. Orang muda cakap, rileks la beb. Kanak-kanak cakap, itu pun nak nangis. Semua pernyataan ini memberi maksud kita harus sabar dan berfikiran positif dalam mengatasi masalah yang mendatang. Jangan bertindak dengan mengikut hawa nafsu.
Nabi berpesan, sabar itu sebahagian daripada iman. Sabar juga adalah kunci segala-galanya. Manusia yang sabar akan dianggap sebagai manusia yang matang dalam mengatur tindakannya. Manakala manusia yang tidak sabar adalah seperti kanak-kanak yang menangis apabila tidak dibelikan aiskrim. Namun harus diingatkan juga bahawa manusia yang tidak mempunyai perasaan, bukan manusia namanya. Sudah semestinya kita akan kecewa dan sedih apabila orang yang kita harapkan untuk menjadi teman hidup pergi meninggalkan kita. Jangan dilayan perasaan itu. Itu adalah ujian Tuhan.
Kata ulama’, di dunia ini terdapat dua golongan yang akan menerima ujian daripada Allah Taala. Golongan yang pertama ialah golongan orang yang beriman. Mereka menerima ujian daripada Allah Taala adalah untuk menambahkan keimanan mereka kepada Allah Taala. Manakala golongan yang kedua adalah golongan yang jahil. Mereka menerima ujian daripada Allah supaya mereka kembali ke jalan yang diredhai. Mahukah kita sekiranya kita menjadi golongan yang ke dua. Sudah semestinya kita ingin menjadi ahli golongan yang pertama.
Untuk menjadi ahli golongan yang pertama bukan sahaja kita kena bersabar, malahan kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah dan memohon petunjuk daripada Nya. Itu pun tidak cukup, kita seharusnya dan semestinya melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Itulah yang sebaiknya.

BUNGA BUKAN SEKUMTUM, KUMBANG BUKAN SEEKOR
Orang melayu sering berpegang kepada peribahasa dan juga pepatah lama. Orang tua juga berpesan, bunga bukan sekumtum dan kumbang bukan seekor. Dengan kata lain, jika kita tidak mempunyai jodoh dengan pasangan yang pertama, janganlah berkecil hati ataupun gundah gulana. Jodoh telah ditentukan dan mungkin kita telah ditetapkan untuk bertemu jodoh dengan orang lain.
Walaubagaimanapun, kita harus berhati-hati kerana kumbang yang banyak itulah yang akan membuatkan kita rambang mata untuk memilih sebagai teman hidup kita. Begitulah juga dengan sebaliknya. Kerana bunga yang sejambak jugalah yang membuatkan kita keliru dengan keharuman bunga yang mana yang sesuai dengan diri kita. Kekadang ada yang kita lihat cantik namun keharumannya tidak seperti yang dijangkakan. Ada juga yang kelihatan tidak berseri namun keharumannya segar dan menenangkan. Namun yang menjadi pilihan adalah bunga yang kelihatan berseri dan juga mempunyai bau yang harum. Inilah bunga yang sukar untuk dicari. Bukan sahaja sukar untuk dicari bahkan susah untuk dimiliki. Namun berkat sabar dan iman yang teguh pasti kita akan berjumpa dengan bunga idaman.

LIHAT DALAM AIR
Kalau lihat cermin diri kita akan dapat lihat apa yang ada di depan kita. Itulah kita. Dari dulu sampai sekarang. Cuba lihat dalam air. Apa yang dapat kita perhatikan? Mungkin wajah kita tidak seperti yang kita lihat di dalam cermin. Hakikatnya itu dapat menyedarkan kita bahawa kita ada banyak kelemahan dan kekurangan. Kalau orang tua cakap, ukur baju di badan sendiri. Maksudnya jangan memilih orang yang hanya kita suka akan tetapi cubalah mencari orang yang sepadan dengan kita.
Islam telah menggariskan beberapa langkah untuk memilih pasangan. Langkah pertama pilih kerana paras rupa. Rupa yang cantik dan ayu akan menjadi sejuk bila mata memandang. Apatah lagi yang bersopan santun. Itulah yang menjadi idaman setiap mentua. Langkah kedua adalah hartanya. Mungkin dengan harta dapat membantu untuk menyara hidup di dunia yang fana ini. Ketiga adalah yang beriman. Inilah penyelamat kepada segalanya. Pilih yang beriman. Bukan sahaja selamat di dunia bahkan di akhirat sana. Rupa dan harta juga tidak berguna sekiranya tidak beriman. Ini adalah kerana dia akan membelanjakan harta ke jalan yang tidak diredhai kerana dia sendiri tidak tahu yang mana harta yang halal dan haram. Begitulah juga dengan rupa yang cantik tanpa iman juga akan menjadikan dirinya bagaikan kacang lupakan kulit. Dia menganggap bahawa dirinya adalah yang terbaik dan tidak ada insan yang lebih cantik atau kacak darinya.
Jika ketiga-tiga elemen ini ada dalam diri kita dan juga pasangan kita maka itu adalah jodoh dan pasangan yang terbaik untuk kita. Tetapi sekiranya kita merasakan diri kita tidak ada kesesuaian antara satu sama lain, maka carilah yang lain. Tidak perlu kesal dengan apa yang telah terjadi.
Jangan menuduh antara satu sama lain atas apa yang berlaku tetapi lihatlah ke depan dan cari apa yang perlu dilakukan. Mungkin kesilapan yang lepas boleh diperbaiki. Contohnya jika kita tidak mendapat restu mak dan ayah, maka kali ini orang yang pertama yang kita perlu hadapi adalah mak dan ayah kita. Redha Allah adalah redha kedua orang tua kita. Mereka meredhai maka akan senanglah hidup dan juga berkatlah hidup kita.
Banyakkan persoalan ke atas diri sendiri supaya dapat menilai sama ada diri kita sudah bersedia atau pun tidak untuk menerima pasangan. Contohnya, dah ada kerja? Dah ada rumah? Dah ada kereta? Dah ada ilmu? Dah ada pasangan? Kalau persoalan ini dapat dijawab maka kita telah bersedia untuk bersama dengan pasangan kita. Sekiranya belum terjawab maka persiapkanlah diri untuk menjadi manusia yang menuju ke arah kesempurnaan.

KE ARAH KESEMPURNAAN
Kita sering mendengar, manusia tidak dapat menjadi seorang yang sempurna. Hanya Nabi S.A.W yang benar-benar sempurna. Namun kita boleh mencuba untuk menjurus ke arah kesempurnaan. Itulah yang ditanamkan oleh Islam kepada penganutnya. Kita diseru untuk mengikut apa yang telah dibawakan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Baginda meletakkan pelbagai ilmu kasih sayang dalam keluarganya dan juga bagaimana Baginda menjaga kasih sayang yang dibina sesama umat Islam. Bukan sahaja bersama dengan para isterinya malahan juga dengan sekalian pegikutnya yang beriman kepada Allah Taala dan Rasulullah S.A.W. Itulah kelebihan Nabi Muhammad S.A.W, junjungan mulia. Setiap tutur katanya, indah di mata setenang di hati. Mengikut sejarah, Nabi Muhammad S.A.W seorang yang tegas apabila bercakap bersama golongan Adam namun baginda amat lemah lembut apabila bercakap dengan kaum Hawa. Bukan tujuan baginda untuk membeza-beza antara lelaki dan perempuan tapi baginda menjaga hati seorang wanita yang lebih suka pada kelembutan dan tidak suka pada kekasaran. Inilah yang patut menjadi ikutan dan teladan pada umat manusia hari ini.
Walaupun begitu bukannya peluang untuk wanita mengambil kesempatan di atas penghormatan yang diberikan. Kaum wanita sepatutnya menggunakan kesempatan dan kelebihan yang diberi agar perhubungan itu lebih mekar dan segar serta dilindungi Allah Taala. Jadikan Saidatina Khadijah sebagai contoh. Bagaimana beliau menjadi seorang isteri yang baik dan amat dikagumi sehinggalah beliau digelar ummul mukminin. Pengorbanan, tolak ansur dan kasih sayang yang dicurahkan kepada baginda Nabi tidak pernah berbelah bagi. Masihkah kita ingat sirah ketika Nabi pertama kali didatangi jibril di gua Hira’. Saidatina Khadijah yang menjadi penenang ketika Nabi menggigil ketakutan. Hanya Khadijah yang menjadi pengubat duka lara. Apatah lagi apabila pertama didatangi Jibril, membawa ayat yang bertama, “Bacalah,”.
Sepanjang Nabi S.A.W menyampaikan ajaran Islam, Khadijah sentiasa menjadi tulang belakang bagi diri baginda. Tiada apa yang menghalang apatah lagi mengorbankan harta bendanya demi perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Setiap tindakan Nabi tidak pernah diraguinya kerana beliau percaya dan beriman bahawa akhlak Nabi adalah akhlak Al Quran. Setiap tindak tanduk baginda adalah wahyu dari Allah Taala.
Namun hari ini kepercayaan dan keikhlasan semakin hilang dari diri kita. Itulah yang membuatkan diri kita kurang dan tidak sempurna. Apatah lagi perkara yang melibatkan hati, kita perlu mengambil perhatian yang lebih dan menjadi perkara yang utama dalam kehidupan kita seharian. Tanamkan kepercayaan dalam hati, ikhlaskan diri menyayangi dan ringan jiwa menginsafi. Mungkin ini dapat mempositifkan pemikiran kita apabila cinta kita tidak dibalas.
Jika itu bukan jodoh kita, biarkan ia berlalu. Maafkan dia, bukan salah dia untuk tidak menerima tetapi takdir yang menentukan. Percaya dengan ketentuan yang telah Allah tetapkan.

MULAKAN SEMULA
Mulakan apa yang telah berakhir. Permulaan untuk satu perngakhiran adalah satu jalan yang terbaik. Letakkan kegagalan sebagai satu kayu ukur untuk tidak melakukannya semula. Binalah perasaan itu dengan keihklasan dan berlandaskan keimanan. Jangan biarkan nafsu yang menguasai diri. Bertindak secara positif, lebih memahami dan bukan meminta untuk difahami. Ringankan diri untuk melontarkan kemaafan dan rajinkan hati memohon keampunan.
Jadikan diri sebagai sebaik-baik manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain. Elakkan dari menjadi orang yang diberikan manfaat. Sesungguhnya tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Menolong orang jangan harap balasannya. Biarlah orang senang dengan kehadiran kita dan merupakan satu kehilangan apabila kita tiada.
Biarlah susah senang susah bersama dan jangan melarikan diri apabila ditimpa kesusahan. Orang akan lebih menghargai apabila mereka susah dan kita senantiasa berada disisi. Cubalah menghargai apa yang telah orang lain lakukan untuk kita dan janganlah mengharapkan penghargaan apabila kita melakukan sesuatu untuk orang lain. Jatuhkan keegoaan supaya diri tidak dianggap sombong oleh orang lain. Insan yang rendah diri lebih disenangi daripada insan yang tidak pandai membezakan antara permata dan manikam.
Akhirnya letakkan tawakal kepada Yang Maha Esa. Kita hanya merancang, Tuhan juga merancang. Sesungguhnya Allah Taala adalah sebaik-baik perancang.

Ulasan