Cilik yang menegerti...


Mereka kecil, tapi mereka telah mengerti erti ikatan ukhuwah yang terjalin. Mendengar berita Mat Arip, 9 tahun ditimpa kecelakaan, mereka terus meminta izin untuk melawat Mat Arip di Kelantan.


Mat Arip jatuh ketika sedang bermain bersama rakan yang lain sehingga menyebabkan tulang lengannya terhantuk ke batu lalu menyebabkan tulang di lengannya patah. Mat Arip segera dikejarkan ke hospital Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan. Pada awalnya, tulang yang patah itu di cantumkan semula secara manual dengan menggunakan khidmat doctor pakar. Namun setelah beberapa hari kelihatan tulang yang lain pula beralih dari kedudukan asalnya. Pembedahan juga jalan penyelesaian.
Selama tiga jam pembedahan dijalankan bagi memasukkan besi, memegang cantuman tulang yang telah patah. Besi itu akan dikeluarkan semula setelah tulang yang dicantumkan benar-benar tercantum dan kukuh. Pendapat doktor, mungkin akan memakan masa beberapa bulan. Kini tangan Mat Arip bersimen untuk memastikan tulangnya bersambung dengan elok.

MEREKA SEPUPU

Haizil Haziq, 12 tahun, Harith Haiman, 8 tahun dan Daniel, 10 tahun merupakan sepupu kepada Mohd Arip (Mat Arip). Tapi hubungan mereka lebih dari adik beradik. Jika berjumpa, ada sahaja karenah yang akan mereka lakukan bersama. Mungkin umur mereka yang sebaya membuatkan mereka serasi bersama. Bukan sahaja bermain, makan, minum dan sehingga ke tempat tidur mereka ingin bersama. Jika seorang makan, yang lain juga akan turut makan tapi jika salah seorang enggan maka yang lain juga akan sependapat.
Biarpun perjalanan jauh yang memakan masa hampir 8 jam ke Kelantan dengan menaiki bas, mereka tetap teruja untuk melawat Mat Arip. Sesekali terfikir juga, bukan mudah untuk membina ukhuwah yang sebegitu kukuh. Masyarakat zaman sekarang sendiri sudah kurang untuk menziarahi antara satu sama lain, jika ada berita kematian barulah terdetik untuk melawat. Tatkala masih hidup, mengejar kebendaan lebih penting dari ukhuwah yang hakiki. Bukanlah semua begitu, namun yang sedikit inilah yang boleh menjadi virus yang membunuh moral masyarakat Islam.

JAM 4 PAGI

Kanak-kanak sememangnya teruja menaiki bas. Apalagi bas eksekutif. Bas Tranasioanal menjadi pilihan.
“Ha, nilah bas kita,” kata Haiman.
“Ya ke?”ibunya seperti tidak percaya.
“Betulla, ni tengok nombor sirinya sama dengan nombor dalam tiket ni,” jelas Haiman.
Kanak-kanak zaman sekarang, baru berumur 8 tahun, dia lebih tahu daripada ibunya bas yang mana bakal mereka naiki. Tiket bas memang dipegangnya. Pada awalnya, ibunya tidak percaya tapi apabila mendengar panggilan dari pemandu bas, barulah ibunya sedar akan kebenaran kata anak kecil itu. Bukan setakat itu sahaja, dia begitu ramah dengan pemandu bas. Sehinggakan pemandu bas terhibur dengan teletah mereka bertiga. Namun perasaan untuk sampai ke rumah Mat Arip tidak dapat dibendung. Boleh dikatakan sepanjang perjalanan mereka tidak lena tidur asyik terbayangkan bagaimanakah keadaan Mat Arip yang bersimen tangannya.
Lebih kurang jam 4 pagi, mereka selamat sampai di Perhentian Bas Machang. Terpaksa pula menunggu untuk dijemput. Namun mereka tidak patah semangat. Biarpun keadaan kadangkala sunyi, keriuhan mereka bergurau senda di pagi hari memecahkan keheningan pagi.
“Ha, tu kereta abang Eddy,” kata Haiman.
Akhirnya orang yang ditunggu-tunggu untuk menjemput mereka tiba. Biarpun lambat seketika, mereka tetap gembira apabila selamat tiba di Kelantan.

BERTEMU EMPAT MATA

Selepas pembedahan, Mat Arip dibawa pulang ke kampungnya di Bachok. Kebetulan pula datuknya merupakan salah seorang pengamal perubatan tradisional. Datuknya memang dikenali di daerah Bachok. Mudah bagi Mat Arip untuk berubat. Sambil menjalani perubatan moden, datuknya juga mengubatinya menggunakan kaedah tradisional.
“Lambat lagi ke nak sampai,” tanya Haiman.
“Perlahannya kereta ni,” rungut si Haizil pula.
“Boleh laju sikit tak?” jampuk si Daniel.
Perjalanan dari Machang ke Bachok memakan masa hampir sejam. Sepanjang perjalanan, itulah yang sering dikatakan oleh mereka. Mereka memang betul-betul tidak sabar untuk berjumpa Mat Arip.
Dari satu selekoh menyesuri ke selekoh yang lain. Akhirnya sampai di selekoh yang terakhir. Jalan batas yang merentasi tanaman bakau menjadi laluan utama ke rumah datuk Mat Arip.
“Arip! Arip!” Mereka menjerit memanggil nama Mat Arip.
Mat Arip dengan perlahan menuruni anak tangga dengan keadaan tangannya bersimen dan beranduh. Senyuman yang menhiasi wajah Mat Arip menyambut ketibaan mereka. Haizil, Daniel dan Haiman mengerumuninya. Apa yang mereka bualkan tidak berapa kedengaran. Sebak seketika melihat mereka. Hajat mereka tertunai untuk berjumpa Mat Arip. Sekelip mata sahaja mereka hilang dari pandangan. Mat Arip terus membawa mereka naik ke atas rumah. Mungkin ada sesuatu yang ingin Mat Arip tunjukkan pada mereka.

PANTAI IRAMA BACHOK

Bila petang bertandang, mereka gelisah seakan-akan tidak mahu meninggalkan Mat Arip. Pak Long, ayah kepada Mat Arip membawa mereka bersantai seketika di Pantai Irama Bachok. Keropok, bebola ikan, sotong, udang dan pelbagai makanan yang siap digoreng dibeli sebagai makanan ringan petang itu.
Sepanjang masa ketika berada di pantai, mereka sentiasa bersama. Ke sana dan ke sini, tidak seorang pun ketinggalan. Ibarat ombak laut yang menghempas pantai. Tatkala terhempas, tidak ada satu pun yang akan ditinggalkan. Mereka bermain ombak bersama, membentuk istana pasir dan berkejar-kejaran. Meriah sungguh. Bagi mereka, ikatan persaudaraan tidak bermakna tanpa kemesraan. Satu ikatan persaudaraan yang begitu akrab. Mengapa anak yang cilik mampu mengerti tapi kita yang dewasa hanya meletakkan pandangan itu ke tepi?
Jika beginilah anak-anak ini sehingga ke ahirnya, pasti ikatan keluarga tidak akan terputus biar di mana sahaja mereka berada. Namun persoalan tetap bermain di minda, mampukan mereka mengekalkannya? Adakah hubungan mereka setelah dewasa akan sehebat hubungan mereka ketika kanak-kanak? Segalanya diserahkan kepada Yang Esa. Semoga mereka tergolong di kalangan golongan yang dirahmati dan diberkati.

Ulasan