Sekejap Je...


“Adik Ijoy kena tahan wad,” mama menelefon menyampaikan berita yang agak menggemparkan. Aku tidak menyangka, surat lanjutan dari Klinik Dr Aminah untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah membuatkan kami sekeluarga gempar dengan keadaan Ijoy.

Mohd Zulfikri Syafiq atau lebih manja dengan panggilan Ijoy baru berusia setahun enam bulan. Baru dua bulan lepas dia baru pandai berjalan dan berlari. Anak ketiga dari tiga orang adik beradik ini mempunyai teletah dan kerenah sehingga membuatkan kami sekeluarga begitu terhibur dan menyanyanginya. Apatah lagi mama yang menjaganya sejak lahir, sehingga sekarang. Kekadang layanannya mengalahkan layanan untuk anak sendiri. Tapi aku maklum, semakin usia meningkat, semakin jiwa akan menjadi sentimental dan merasa kesunyian. Mujurlah adanya Ijoy yang menceriakan suasana.

DR AMINAH VS TUKANG URUT

Adik Ijoy dibawa berjumpa dengan Dr Aminah setelah papanya, Mohd Jamil mengesan ada kebengkakan pada pundi kencingnya. Apatah lagi telurnya membengkak dan mengeras. Pada awalnya mereka menjangkakan angin pasang, seperti mana yang telah dimaklumkan oleh tukang urut, kenalan papa Ijoy. Tukang urut itu juga turut mengajar bagaimana untuk melakukan urutan agar bengkak yang dialami oleh Ijoy surut. Namun semakin hari semakin ia membangkak dan bukannya makin surut. Apa yang lebih mengelirukan, adik Ijoy tidak mengalami sebarang perubahan seperti sakit, menangis dan sebagainya. Dia kekal nakal dan aktif seperti biasa.
Untuk menghilangkan kekeliruan dan kekesutan, adik Ijoy terus dibawa berjumpa dengan Dr Aminah untuk mendapatkan jawapan yang pasti. Tanpa membuang masa, surat dikeluarkan untuk membawa Ijoy berjumpa dengan pakar kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

PAPA VS MAMA

Inilah pengalaman pertama mereka membawa Ijoy ke hospital. Setelah pendaftaran dibuat, Ijoy dibawa ke bilik x-ray. Masing-masing gemuruh untuk membawa Ijoy, sedangkan Ijoy tidak mahu dibawa oleh orang lain selain papa dan mamanya. Mama menyuruh papa, papa pula suruh mama. Pelik sungguh, anak yang sakit, mak ayah pula yang takut nak bawa anak masuk bilik jumpa doctor. Akhirnya datanglah bantuan Ilahi melalui Ijoy yang memilih untuk didukung papanya masuk berjumpa doctor.
Setelah diperiksa, doktor memaklumkan ada yang tidak kena dengan usus Ijoy dan perlu menjalani sedikit pembedahan sekiranya usaha awal rawatan secara manual yang akan dilakukan oleh doctor pakar tidak berjaya. Ijoy terus ditahan di wad 2c, Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Wad yang menempatkan kanak-kanak yang akan menjalani pembedahan. Sebelum dimasukkan ke wad, sekali lagi keadaan genting yang menguji ketahaban dan kekuatan semangat seorang papa. Dia terpaksa mendukung, memegang dan melihat tangan Ijoy dicucuk bagi memasukkan air. Menangis Ijoy kesakitan. Raungan Ijoy selak sehingga tiada kedengaran suaranya. Kali pertama, Ijoy mencabutnya keluar. Dicucuk sekali lagi, dicabut lagi oleh Ijoy sehinggalah kali ketiga, Ijoy masih lagi menariknya keluar. Jururawat tiada pilihan lain selain mencucuk kembali di tangan kiri pula dan membalutnya sehinggalah tiada cara untuk Ijoy membukanya. Namun Ijoy masih lagi menangis dan meronta-ronta untuk dicabutkan jarum tersebut. Dengan tangisan yang semakin perlahan, dia menghulurkan tangan yang berbalut itu kepada mamanya meminta untuk dibukakan. Mama Ijoy tiada pilihan selain memujuknya biarpun air mata semakin banyak mengalir di pipi menahan sebak melihat anak bongsunya menerima keadaan sedemikian rupa. Tambahan lagi dalam usia yang begitu, Ijoy tidak memahami apa-apa. Papa Ijoy tidak dapat menahan melihat keadaan Ijoy lantas meninggalkan wad dan menunggu di luar.

PERMINTAAN MAMA IJOY

` Ijoy tidak dibenarkan lagi untuk makan ataupun minum sementara menunggu waktu untuk menjalani rawatan manual tersebut. Menyedari Ijoy belum lagi diberikan bijiran nestum sejak dari pagi, mama Ijoy meminta juga dari doctor diberikan susu kepada Ijoy kerana risau perut Ijoy akan kembung pula. Pada awalnya, berat juga doctor untuk memberikan persetujuan namun setelah papa dan mama Ijoy berbincang dengan elok, akhirnya sebotol susu diberikan kepada Ijoy. Lega sedikit hati mama Ijoy kerana mampu juga dia memujuk dan mendodoikan Ijoy tidur, menghilangkan rasa sakit.

DOKTOR PAKAR

Tepat jam 3 petang, Ijoy diberikan ubat tidur bagi memudahkan proses rawatan manual yang akan dijalankan oleh dua orang doctor pakar kanak-kanak. Semakin berdebar hati mama dan papa Ijoy. Bukan mudah untuk menidurkan Ijoy. Seorang kanak-kanak yang aktif begitu sukar untuk kalah dengan ubat pelali. Setelah hampir 45 minit masa berlalu barulah Ijoy melelapkan mata.
Tepat jam 4.30 petang, aku, mama dan abah pula tiba. Masing-masing hanya melihat dan bercakap dengan perlahan agar Ijoy tidak sedar dan bangun semula. Kami semua berdebar menantikan detik dan waktu yang kian tiba. Sehinggalah jam 6.30 petang, akhirnya giliran Ijoy tiba. Seperti yang dinyatakan, dua orang doctor pakar datang melihat keadaan Ijoy. Namun keajaiban berlaku, Ijoy tidak perlu menjalani rawatan manual bagi membetulkan ususnya kerana kebengkakan yang berlaku adalah disebabkan oleh takungan air yang berlebihan dan ia akan hilang dengan sendirinya. Doctor pakar itu menunjukkan dengan menggunakan lampu suluh berkuasa tinggi ke arah bengkak yang terjadi dan jelas dapat dilihat air berkocak-kocak apabila digerakkan oleh jari doctor tersebut.

SEKEJAP JE

Sekali lagi tangisan mengalir ke pipi, gembira dengan berita yang diberikan oleh doctor pakar. Jarum yang menusuk ke tangan Ijoy juga dicabut. Kesian Ijoy apabila mengenangkan kembali keadaannya dicucuk jarum sehingga empat kali bagi memasukkan air. Tapi akhirnya tiada pembedahan yang dilakukan. Itulah dugaan, sebaik-baik manusia merancang, Allah Taala jua sebaik perancang.
Semua yang berlaku hanya sekejap sahaja. Tidak sampai satu hari, hanya beberapa jam. Namun ia sudah cukup menginsafkan dan menyedarkan betapa besarnya nikmat yang diberikan dan juga betapa bernilai amanah yang dikurniakan oleh Allah Taala. Jam 6.45 petang, Ijoy membuka mata dan dengan perlahan dia mengukir senyuman melihat insan-insan yang dikenali, semua ada di sisinya. Dengan segera dia bangun untuk berjalan. Tapi mungkin kerana kesan ubat tidur yang belum habis sepenuhnya, dia kelihatan seperti orang mabuk yang cuba untuk berjalan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Tergelak kami seketika. Tapi dalam gelakan itu, hati kami bersyukur kepada Allah Taala kerana dugaan ini hanya sekejap sahaja.

Ulasan