Ku Terima Hakikat Ini..

Alhamdulillah, masih lagi dalam suasana Aidiladha. Pengorbanan kita tidak sehebat Nabi Allah Ibrahim dahn Nabi Allah Ismail Alaihissalam. Namun kita perlu mencuba untuk yang terbaik. Saya teringat kembali artikel yang pernah saya tulis di majalah Anis satu ketika dahulu. Saya postkan kembali artikel tersebut untuk renungan kita bersama...

Menyusuri Mukim Ah, Kodiang, tenang juga mata memandang. Apatah lagi apabila melihat ada pula tarian yang dipersembahkan oleh penduduk siam yang menetap di mukim itu. Nampak meriah, ramai pula yang datang bertandang. Namun apabila di satu kawasan di balik lalang yang tinggi, tidak ramai yang tahu ada insan yang memerlukan perhatian dan bantuan.


Sebuah rumah kecil yang hanya dihuni tiga beranak menyimpan seribu satu pengalaman dan kisah pahit. Biarpun diluahkan namun ia tidak sama dengan apa yang dirasa. Che Wan binti Ali ataupun lebih mesra dengan panggilan Kak Wan, 50 tahun menanggung segalanya. Bersamanya seorang anak Mohd Rashidi bin Rashid, 19 tahun tidak pernah lekang dari pandangannya. Rashidi atau panggilan manja Syidi, lumpuh seluruh badan lantas tidak berupaya menguruskan dirinya. Di samping itu, Kak Wan juga menjaga ibu saudaranya yang berusia hampir 80 tahun yang mengidap darah tinggi dan kencing manis. Tambah lagi, matanya bermasalah. Sebelah tidak nampak dan sebelah lagi kabur. Mahu tidak mahu, atas dasar tanggungjawab, Kak Wan menolak segala kepayahan dan keperitan. Segalanya ditelan demi menjaga ibu saudara yang bagaikan ibu baginya.


SYIDI SAKIT

19 tahun dulu, Syidi lahir sama seperti kanak-kanak normal yang lain, tiada cacat dan sempurna akalnya. Apatah lagi dia merupakan anak sulung. Semakin sayang Kak Wan apabila mendapat anak sulung yang comel paras rupanya. Dia memberikan pelbagai layanan istimewa termasuklah memberikan susu yang terbaik untuk Syidi. Namun susu yang diberikan tidak sesuai dengan Syidi menyebabkan dia jatuh sakit. Kesnya dirujuk ke sebuah hospital di utara. Akan tetapi, pihak hospital juga tidak dapat mengesan apakah penyakit sebenar yang menimpa Syidi sehinggakan dia ditahan di hospital.

Satu hari ketika Syidi masih lagi di hospital, Kak Wan datang melawat setelah selesai kerjanya di rumah. Terkejutnya dia apabila dia melihat Syidi menggelupur di atas katil dan menangis tidak henti. Dia cuba mendapatkan jururawat mendapatkan kepastian apa yang berlaku sebenarnya. Cubaannya hampa kerana mereka menyatakan hanya menyuntik ubat dan mereka sendiri tidak tahu apa yang menimpa Syidi. Terus dipanggil doktor pakar untuk melihat keadaan Syidi. Mereka berbincang sesama sendiri tanpa sedikit pun difahami Kak Wan. Tambah lagi mereka berbual dalam Bahasa Inggeris yang sepatah pun tidak difahami oleh Kak Wan. Dia menyerahkan segalanya pada takdir agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini ke atas anaknya.

Permintaan Kak Wan mendapat perhatian Allah Taala tapi dengan ujian yang mendatang. Keadaan Syidi yang menggelupur lama kelamaan hilang, tapi hilang terus sehingga Syidi tidak lagi mampu bergerak. Keadaannya lembik tanpa ada satu tindak balas pun dari anggotanya. Kak Wan binggung dengan keadaan Syidi tapi dia yakin pasti ada hikmah menunggu dirinya.

IBU TUNGGAL

Syidi ditinggalkan bapa ketika umurnya seawal setahun. Khabarnya mencari kerja di Pahang tapi sampai sekarang tidak ada khabar berita. Kak Wan merasakan mungkin dia kurang memberi perhatian kepada suaminya kerana lebih menumpukan perhatian kepada Syidi. Namun Kak Wan tidak ada pilihan apabila Syidi memerlukan perhatian yang sepenuhnya. Mungkin dulu Kak Wan agak tertekan, tapi sekarang alah bisa tegal biasa. Semuanya diuruskan sendiri. Bagi Kak Wan, dialah ibu dan dialah bapa untuk Syidi. Tidak lagi meletakkan harapan untuk bapanya pulang melihat Syidi. Semuanya diserahkan kepada Allah Taala. Dia yakin, anak yang tidak bernasib baik, seringkali mendapat perlindungan dari Allah dan ada sentiasa ada rezeki untuknya.

Kak Wan pernah mencuba pelbagai kerjaya untuk menyara Syidi. Tapi semuanya tidak dapat diteruskan kerana Syidi memerlukannya. Setiap kali ingin tidur, Kak Wan perlu mendodoikannya. Setiap kali makan juga, Kak Wan yang kena menyuapkannya. Syidi tidak akan makan jika tidak disuapkan dengan tangan Kak Wan sendiri. Pernah sekali Kak Wan tinggalkan kepada jirannya untuk dijaga. Segalanya telah Kak Wan sediakan, dari air minumnya sehinggalah lauk untuk makanannya. Namun dari pagi sehinggalah Kak Wan balik, dia tidak makan. Tidur pun tidak. Puas jirannya memujuk untuk menyuapkan makan dan mendodoikan tidur, namun Syidi tidak mengendahkan. Sekali Kak Wan suakan tangan terus dia membuka mulut dan makan sehingga licin nasi sepinggan. Bagitulah juga dengan tidur, Kak Wan dodoikan sahaja, tidak sampai lima minit, dia melelapkan mata. Lantas, Kak Wan mengambil keputusan untuk tidak lagi meninggalkan Syidi.


CHEF SYIDI

Biarpun Syidi tidak dapat menguruskan dirinya, tapi dia mempunyai satu keistimewaan. Dia mampu mengenal pasti jenis masakan yang dimasak oleh Kak Wan. Syidi amat teliti dengan pemakanannya. Salah lauk atau masakan, dia tidak akan memakannya. Makanan kegemarannya masak gulai dan rendang. Rempah yang diguna juga mestilah rempah Adabi. Pernah sekali Kak Wan mengguna rempah lain kerana kehabisan rempah Adabi. Syidi hanya mengemam makanan tanpa menelan nasi yang disuapkan Kak Wan. Fahamlah Kak Wan, dia tidak suka dengan lauk masakan yang menggunakan rempah lain.

Begitulah juga dengan air minuman, air kosong mestilah dicampur dengan glukos, vico ataupun horlick. Jika tidak, air yang disuap, tidak akan ditelan. Semuanya akan berkumpul dalam mulutnya. Sewaktu sesi temubual dijalankan, Kak Wan sedang menyuap Syidi makan tengahari. Dari jam 2.30 petang sehinggalah jam 6.00 petang, barulah Kak Wan selesai menyuapkannya. Begitulah rutin harian Syidi. Syidi pula perlu diriba untuk disuap. Sesekali Kak Wan menukar kaki untuk menghilangkan kebas kaki meriba Syidi, tapi bagi Kak Wan biarpun apa yang dirasanya, abaikan Syidi tidak sekali.
REZEKI

Kak Wan hanya menyara keluarga dan dirinya dengan duit dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, RM80 sebulan. Itulah sahaja yang merupakan pendapatan tetap Kak Wan, memandangkan dia tidak dapat meninggalkan Syidi untuk mencari nafkah. Dia tidak risau dengan dirinya. Yang penting, kelengkapan bulanan Syidi cukup disediakan. Biarpun susah, namun baginya kebahagiaan dan kegembiraan Syidi adalah segalanya. Rezekinya akan bertambah murah apabila tiba musim perayaan, seperti Hari Raya Puasa dan Raya Korban. Ada sahaja mereka yang datang memberikan bantuan. Hari biasa juga tidak lekang dari orang orang kampung yang simpati dengan nasib Kak Wan. Namun mereka sendiri bukan golongan yang senang. Hanya dapat memberikan apa yang mampu sahaja.

Kak Wan tidak pernah meminta, dia juga tidak pernah menagih bantuan. Tapi Allah Taala itu Maha Pengasih dan Penyayang. Dia tidak pernah lepas pandang hamba yang akur dengan perintahNya dan pasrah dengan ujianNya. Itulah yang membuatkan Kak Wan yakin pasti ada bantuan yang akan tiba. Sekarang Kak Wan mendapat upah menjahit cadar hospital dari rumah. Mesin jahit dibekalkan dan kain juga dihantar ke rumah. Biarpun upahnya kecil namun ia cukup juga untuk menjadi duit poket Kak Wan jika ada waktu kecemasan yang memerlukan.

HARAPAN

Apabila bertanyakan harapan Kak Wan, dia hanya berkata, “Kak nak tengok Syidi boleh duduk, jadilah,”
Sebak kami mendengar harapan seorang ibu pada anaknya. Biarpun telah 19 tahun menjaga Syidi namun dia masih lagi berharap satu hari nanti dia dapat melihat Syidi menjadi seperti anak-anak yang lain.
Begitulah juga dengan rumahnya yang diharapkan dapat dibina bilik buat Syidi. Ini semua untuk memudahkan Kak Wan menggerakkan Syidi. Apatah lagi semakin hari, Syidi semakin besar dan dewasa. Pasti kederat Kak Wan juga akan terbatas.
Semangat Kak Wan tidak pernah luntur untuk menjaga dan membesarkan Syidi. Biar apa yang berlaku, dia tetap akan bersama Syidi. Kami kagum dengan Kak Wan.

Ingin hulurkan bantuan, hubungi 04 9252189 atau no akaun 20030268497 atas nama MOHD ROSHIDI BIN RASHID (Bank Pertanian Malaysia)

Adik Syidi telah pun menyambut seruan Ilahi...Al Fatihah...

Ulasan