Member @ Teman @ Sahabat...Siapa?

Akhir-akhir ini saya sering dihujani dengan persoalan, siapa yang mana satu member, teman mahupun sahabat. Ada juga yang bertanya, adakah itu juga kekasih? Bagi saya jawapan itu adalah bergantung kepada penafsiran serta pemahaman maksud setiap perkataan itu. Namun saya cuba untuk menghuraikannya dengan beberapa klasifikasi yang mungkin boleh dikongsi bersama...

“Alah, member-member semua ramai yang pergi, kenapa tak boleh pergi sekali,”
Ungkapan yang seringkali terdengar antara si anak dengan si ayah mahupun ibu yang menuntut untuk bersama rakan sebaya. Hari ini pengaruh rakan sebaya merupakan tarikan yang kuat bagi muda mudi. Adakalanya kata rakan sebaya lebih berkeramat dari nasihat orang tua. Persoalannya, kenalkah kita dengan kawan-kawan kita?

KAWAN SUKA SUKI

Mereka sentiasa ada bersama kita. Namun hakikatnya mereka hanya ada ketika kita senang dan gembira. Jarang sekali mereka ada ketika kita memerlukan bantuan mahupun perhatian. Bagi mereka, “engkau senang, aku senang. Engkau susah, itu engkau punya pasal, tanggung sendiri,” mungkin ada yang tidak setuju dengan penyataan ini. Tapi inilah hakikatnya. Ada antara yang menggelarkan diri mereka kawan atau member tapi hanyalah untuk bersuka ria. Hilang suka, hilanglah kawan.
Berhati-hatilah dengan mereka. Bukan tidak boleh berkawan, tapi janganlah sehingga makan hati berulam jantung. Jangan meletakkan satu pengharapan mahupun matlamat yang tinggi pada mereka. Mungkin kita juga menjadikan mereka sekadar kenalan biasa, namun jangan samakan diri kita dengan mereka. Biarlah mereka beranggaan kita hanya sekadar kawan suka suki tapi berlainan dengan cara kita. Kita cuba membantu sekiranya mereka memerlukan bantuan. Cuba memahami dan mengenali mereka. Dengan cara itu mungkin kita akan lebih dihormati dan juga lebih dihargai. Secara tidak langsung kita mampu menukar dari sekadar kawan suka suki kepada kawan yang sebenarnya.

KAWAN MAKAN KAWAN

Senario yang sering melanda bagi mereka yang terlalu percaya pada seseorang. Akhirnya orang yang dipercayai mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diberikan. Contohnya, seorang kawan meminta tolong untuk menjaga motornya sementara dia pulang ke kampung. Namun apa yang berlaku, kawannya pula menggunakan motor tersebut untuk gejala yang tidak sihat seperti berlumba haram. Tambah malangnya lagi apabila motor tersebut terlibat dengan kemalangan dan si kawan yang makan kawan itu ditangkap Polis. Sedihnya, segala yang berlaku adalah tanpa pengetahuan si empunya motor. Pulang sahaja dari kampung, berita derita yang diterimanya.
Cubalah untuk tidak meninggalkan harta atau perkara yang penting dalam hidup kita pada kawan yang tidak dikenali latar belakangnya. Sekiranya motor itu merupakan asset yang penting, janganlah salah tempat untuk meninggalkannya. Begitulah juga dengan perkara yang lain. Pastikan kita mengenali kawan yang berurusan dengan diri kita. Bukan setakat kenal nama ataupun tempat tinggal, tapi lebih dari itu. Paling tidak, kita telah mengambil langkah keselamatan untuk mengelakkan diri dari dimakan oleh kawan sendiri.


KAWAN IKAN HARUAN

Selalunya kita mendengar haruan makan anak. Gelaran untuk si ayah yang durjana memperkosa anak sendiri. Mungkin ada antara kawan kita yang boleh menerima gelaran itu, bukan sebagai ayah tapi kawan yang telah merosakkan maruah orang lain. Sedar atau tidak mereka merupakan golongan yang telah bergulumang dengan maksiat. Pantang berjumpa dengan mangsa, pasti dikerjakannya. Tidak kiralah lelaki ataupun perempuan. Semuanya adalah untuk kepuasan nafsu. Selesai aktiviti, mangsa ditinggalkan begitu sahaja. Bahkan ada yang buat tidak tahu sahaja seperti tidak pernah kenal dengan mangsa. Bagi mereka itu sebahagian dari hiburan, tamat hiburan selesailah segalanya.
Bagi yang mereka yang ingin berkawan dengan manusia jenis haruan, mereka memerlukan ilmu dan pengisian jiwa yang kuat. Ini penting supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti yang sama. Ibarat kata sesetengah pihak, kalau dah nampak lopak di depan, janganlah lopak itu dilanggar lagi. Secara tidak langsung, mereka mampu untuk menjaga diri sendiri dan juga jika diizinkan Tuhan, mereka mampu untuk menasihati kawan yang telah tersesat jalan untuk kembali ke jalan yang benar.

KAWAN SI TUKANG BESI

Kata ulama, kalau kita berkawan dengan tukang besi kita akan terkena percikan apinya. Itulah pesan mereka sekiranya kita tidak berwaspada. Istilah tukang besi diibaratkan sebagai aktiviti yang tidak sihat seperti melepak, mengisap dadah, berlumba haram dan pelbagai aktiviti lain yang dianggap tidak bermoral. Jika kita berkawan dengan mereka, kita juga dianggap sebahagian dari mereka. Itulah yang dikatakan sebagai berkawan dengan tukang besi.
Ada yang beranggapan untuk tidak terkena dengan percikan api adalah dengan tidak melibatkan diri langsung dengan mereka. Ada juga kebenarannya. Namun ada juga yang beranggapan untuk menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan jangan meninggalkan mereka sendirian kerana mereka akan terus menjadi tukang besi dan semakin ramai akan terkena percikannya. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk mengawal percikan itu dengan menggunakan ilmu yang ada. Maksudnya, gunakan ilmu dan kepakaran yang telah dicari untuk menghalang mereka dari menjadi lebih tidak bermoral dan menghalang orang lain dari menjadi seperti mereka. Mungkin mengadakan program aktiviti riadah seperti jungle tracking, motivasi atau community service. Ini akan menjadikan mereka sebagai tukang besi yang berguna untuk negara.

KAWAN SI PENJUAL MINYAK WANGI

Mereka diibaratkan sebagai pembawa cahaya dalam kehidupan. Mereka bukan sahaja berilmu, bahkan dihormati di kalangan masyarakat. Selalunya mereka akan memberikan pendapat atau nasihat sekiranya diperlukan. Mereka juga tidak melakukan perkara yang dilarang dan senantiasa menjaga apa yang disuruh oleh agama. Bukan mudah untuk berjumpa dengan kawan si penjual minyak wangi.
Sekiranya kita mempunyai kawan yang sebegitu, rugilah diri kita jika hanya membiarkannya atau tidak diambil peduli. Mereka mampu untuk membimbing diri kita ke jalan yang benar. Kebarangkalian diri kita dikhianati juga amat kecil. Paling tidak, kita juga akan berbau wangi seperti mana haruman yang dijualnya.

KAWAN MISTERI

Kawan yang tidak dikenali identitinya tapi berhubung dengan kita. Contohnya kawan sms, sahabat pena ataupun kenalan email. Ada juga cinta internet. Kita tidak mengenali secara fizikal atau karaktor sebenar mereka tapi mereka seringkali berhubung dengan kita. Dalam hal ini macam-macam perkara boleh berlaku samada di tipu ataupun diri sendiri menipu. Mana tidaknya, apabila masing-masing tidak mengenali identity yang sebenar maka mereka bebas untuk menyamar dan mengaku dengan identity yang palsu.
Ada juga yang berhasil menjalinkan hubungan yang halal contohnya sebagai suami isteri apabila masing-masing ikhlas dan jujur serta berani untuk bersemuka menyatakan hasrat hati. Jika ikhlas untuk berkawan, jangan cuba untuk menafikan identity yang sebenar. Berani kerana benar, takut kerana salah. Tidak perlu takut jika kita benar.

KAWAN SEJATI

Sukar untuk mencari dan menjadi kawan sejati a.k.a sahabat. Kawan yang mengerti erti kawan yang sebenar. Memahami konsep sebenar, menyeru kepada kebaikan dan mencegah ke kemungkaran. Mereka juga sentiasa ada di sisi tidak kira ketika senang mahupun susah. Tidak perlu takut dengan teguran yang dilontarkan kerana itulah tugas dan peranan kawan yang sebenar.
Jika benar kita mempunyai kawan yang sejati maka jagalah mereka sebaiknya. Kenalkan mereka pada ahli keluarga kita supaya mereka kenal dengan siapa kita berkawan. Apatah lagi sekiranya mereka itu baik budi pekerti dan beradab tingkah laku. Kebebasan untuk bersama dengan kawan-kawan juga tidak dipersoalkan kerana mereka sudah dikenali oleh ahli keluarga kita. Mereka juga tahu ke mana hendak dituju apabila berlaku perkara yang tidak diingini.

SUDAHNYA…..

Berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Itulah pesan orang tua-tua. Tidak salah untuk berkawan yang penting kena dengan cara dan gaya. Paling berkesan, apabila kawan-kawan yang ada bukan sahaja untuk bersuka malahan juga ketika berduka. Mereka menegur jika perlu dan tidak berkira dengan apa yang dilakukan.
Jika mereka menjaga hati kita, begitulah juga kita. Jika kita mengenali siapa member kita, tidak akan berlaku gejala yang tidak diingini. Begitulah juga dengan perkara yang tidak bermoral. Mak ayah turut senang hati kerana mereka tahu dengan siapa kita berkawan.

Nota 1: Terlalu ramai tika ku gembira namun tiada pabila ku berduka, siapakah mereka di dalam hati ku, adakah teman ataupun kawan...?

Nota 2: Tak terlambat nak ucap selamat pengantin baru kepada Mamat (teman sekerja) yang telah melangsungkan perkahwinannya pada bulan lepas...semoga berkekalan hingga ke akhir usia..






Ulasan

Umi Nazrah berkata…
kawan ja ramai ramai ramai. dan jgn rapat sgt dgn sorang ja kawan. jd apa2 kang, parah..
MOHD RUSDI ABDULLAH berkata…
ada betul juga kata si naz ni...berkawan biar beribu, berkasih, tak tahu...hehehehehe
Tanpa Nama berkata…
sahabat sentiasa m'doakan sahabatnya..

bile lg nk wat kenduri nasi minyak?hehe..
MOHD RUSDI ABDULLAH berkata…
ibnmasir...itulah yang sebaiknya, mendoakan kesejahteraan n kebahagiaan sahabatnya dunia dan akhirat..pasal basi minyak, memang selalu makan nasi minyak ni, meh r datang umah...hehehehehe