Bukan Sekadar Kertas

“Mak aii, nak bagi buah tangan pun nak kena berbalut-balut bagai ke?” ujar seorang rakan.
“Bukannya apa, biar ikhlas menerima. Tidak lokek memberi,” balas Awie sambil tersenyum. Terdiam rakan yang bertanya.
Jawapan yang ringkas tapi padat. Memberikan makna yang tersirat. Perkara yang ringkas, tapi meninggalkan kesan yang begitu mendalam.


BUAH TANGAN

Tidak lengkap kiranya jika kita menziarahi sesiapa hanya dengan sehelai sepinggang, ibarat lenggang Mak Leha. Hanya membawa diri sendiri. Apalah salah kiranya jika dibawakan sedikit buah tangan atau ole-ole. Mereka tidak meminta tapi sekadar ingatan tulus ikhlas. Biarpun hanya goreng pisang RM2. Begitulah juga jika kita sesekali melancong ke negeri orang. Mungkin ada sesuatu yang istimewa terdapat di negeri tersebut. Contohnya, di Kelantan, terkenal dengan kain batik. Itulah hadiah yang sesuai dibelikan sebagai buah tangan. Tapi mampu ke tidak kita nak belikan semua buah tangan dengan kain batik? Tengok budget yang ada. Jangan sampai menzalimi diri sendiri pulak. Habis berbelanja sehingga tiada lagi duit untuk menampung makan sendiri.

NAK BAGI SIAPA?

Susun atur nama mereka yang ingin berikan buah tangan atau ole-ole. Siapa yang perlu diutamakan, diutamakan. Mak, ayah, abang, adik, kakak dan sebagainya. Ada juga yang ingin belikan untuk buah hati. Tidak salah untuk dihadiahkan kepadanya. Namun, lebih elok jika diutamakan ahli keluarga terlebih dahulu. Kalau kita boleh berjimat RM10 untuk beli kad top-up, takkanlah kita berkira pula untuk belikan hadiah buat ahli keluarga sendiri. Siapalah kita tanpa mereka. Sedangkan sejak kecil pelbagai hadiah telah diberikan kepada kita. Setelah selesai buat keluarga, barulah kita sediakan pula untuk sahabat handai mahupun teman taulan.

CARANYA

1. Pilih yang sesuai.
Maksud yang sesuai di sini ialah apa yang paling menarik di tempat kita lawati itu. Mungkin tempat yang kita lawati itu terkenal dengan kain batik. Maka belikanlah kain batik sebagai buah tangan. Ambil kira juga minat mereka yang ingin kita berikan hadiah tersebut. Mungkin boleh pilihkan corak yang sesuai untuk mereka. Misalnya, untuk ibu kita, kita belikan yang nampak klasik dan elegan. Kakak pula, kita carikan yang nampak moden. Begitulah yang seterusnya.

2. Bungkus dengan elok.
Perkara yang sering kita terlupa. Sebagai tanda kita sediakan apa yang termampu. Seikhlas hati. Namun untuk kanak-kanak, tidak perlu dibungkus dengan penuh kerana itu membuatkan mereka kurang teruja. Lebih elok kiranya kita nampak sahaja ole-ole itu untuk mereka. Itu akan membuatkan mereka lebih teruja dengan apa mereka terima. Berbanding dengan orang dewasa, mereka lebih menghargai apa yang diberi jika ianya dibalut dengan kemas dan cantik. Walaupun sekeping kertas itu dibahagi empat.

3. Kena dengan budget.
Sebagai remaja sudah semestinya masalah kewangan menjadi pokok utama dalam apa jua tindakan. Namun ada juga yang sudah mempunyai pendatapan tetap. Walaupun begitu, kita tidak digalakkan untuk membelanjakan mengikut hawa nafsu. Kalau boleh biar sama adil kepada semua yang menerima ole-ole dari kita. Misalnya, jika untuk abang dibelanjakan RM10 untuk dibelikan ole-ole, maka begitu jugalah untuk adik dan kakak. Mungkin istimewa sedikit buat ibu dan ayah. Bagi mereka yang kahwin muda, jangan lupa pula pada isteri yang disayangi. Pasti yang teramat istimewa buat dirinya. Tetapi harus berhati-hati, jangan sampai orang tua pula berasa hati. Kelak nanti makan diri.

4. Disampaikan sendiri.
Kaedah yang paling berkesan bagi memperlihatkan kita menghargai insan. yang kita sayangi. Bukan sekadar membelikan, bahkan kita sendiri yang menyampaikan.
“Mak, abang ada belikan sedikit hadiah buat mak dari Kelantan, ambillah,”
Pasti sejuk hati seorang ibu apabila menerima buah tangan dari anaknya sendiri. Bukanlah dia berharap, tapi itu akan dikenang sampai ke akhir hayat. Begitulah juga untuk mereka yang lain. Bukan nilai yang dipandang, tapi keikhlasan yang ditatang.

5. Jangan mengungkit.
Setiap pemberian mestilah diberikan dengan penuh keikhlasan. Sememangnya keikhlasan itu tidak dapat diukur mahupun dilihat, tapi ia dapat dirasa. Ikhlaskan hati dengan apa yang telah kita sediakan untuk mereka yang tersayang. Mereka yang ikhlas, tidak akan mengingati apa yang telah diberikan kepada orang lain. Begitu juga dengan tidak menyebut-nyebutnya. Sehinggakan orang lain tidak mengetahuinya. Bak kata pepatah, hulurkan tangan kanan, sorokkan tangan kiri. Jika sebaliknya berlaku, sedarlah bahawa diri kita tidak berada dalam keikhlasan. Bahkan kita menjurus kepada ungkit mengungkit. Paling berbahaya, jika hal ini berlaku antara kita sebagai anak, dengan kedua orang tua kita. Tidak kenang budi namanya.

Tangan yang memberi itu lebih baik dari yang menerima. Itulah ajaran agama kita. Maka teruslah berusaha agar kita mampu untuk memberi bukan sentiasa menerima. Jika sekarang kita hanya mampu memberi untuk diri sendiri, mungkin esok lusa kita mampu berikan sesuatu untuk orang lain. Jangan diharap balasan atas apa yang diberikan. Jangan dipinta penghargaan jika hati penuh keikhlasan. Percaya diri, kerana kita akan dihargai jika menghargai.


Ulasan

ibnmasir berkata…
betol bro.. ia bukn hanya kertas.. mmg kertas dr pndgn ksr tp ia adalah penghargaan...
MOHD RUSDI ABDULLAH berkata…
ermmm tapi tak semua yang mengerti maksud tu wak ooooiii...ramai yang suka menerima dari memberi...hehehe