KRING!! KRING!!

Perbualan lelaki kepada tunangnya melalui telefon adalah tidak mengapa bila keadaan perhubungan mereka selepas lamaran lelaki itu diterima. Keadaan perbualan itu adalah untuk saling faham memahami dengan kadar yang diperlukan dan tidak akan menimbulkan sebarang fitnah. Perbuatan itu adalah melalui walinya dan melakukan perbualannya tidak menimbulkan sebarang keraguan.



Adapun perbualan yang berlaku antara lelaki ajnabi bersama wanita ajnabiah dan antara pemuda ajnabi bersama pemudi ajnabiah, sedangkan tidak adanya antara mereka ini hubungan pertunangan, hanya semata-mata untuk berkenal-kenalan sebagaimana yang mereka istilahkannya, maka perbuatan ini adalah termasuk kemungkaran, perkara yang diharamkan, mendorong kepada perbuatan fitnah dan akhirnya akan terjerumus kepada perbuatan kemaksiatan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 32,
"Maka seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan. Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan."

(Ayat ini mengajar supaya wanita-wanita tidak bercakap-cakap dengan lemah lembut kepada lelaki ajnabi. Sekiranya ada keperluan, mereka hendaklah bercakap dengan tegas, tetapi sopan kerana lelaki ajnabi seringkali menaruh harapan kepada wanita-wanita yang bersikap lemah lembut).

Seseorang wanita ajnabiah tidak boleh bercakap dengan lelaki ajnabi melainkan sekadar keperluan, dengan percakapan sopan yang tidak adanya fitnah dan tidak ada keraguan. Malah, ulamak memberikan keterangan bahawa seseorang wanita yang sedang berihram pun ketika hendak bertalbiah tidak boleh mengangkatkan suaranya. Di dalam sebuah hadis yang bermaksud, "Sekiranya kamu hendak memberikan sesuatu peringatan di dalam sembahyang kamu, hendaklah mengucapkan tasbih bagi lelaki dan menepukkan belakang tapak tangan bagi wanita."

Hadis ini menunjukkan bahawa seseorang wanita ajnabiah tidak boleh memperdengarkan suaranya kepada lelaki ajnabi melainkan pada situasi-situasi yang dihajatkan untuk bercakap dengan lelaki ajnabi dengan syarat melakukannya dalam keadaan malu dan sopan. Wallahu A'lam.

Ulasan