JADILAH YANG CANTIK…AYU @ MACHO?

Semakin hari, semakin berat tanggungjawab yang terpahat di bahu. Sehingga kekadang menjadikan diri kelihatan hodoh di kaca mata sahabat sendiri. Namun tidak boleh disalahkan kepada sahabat kita semata-mata kerana dia tidak menanggung apa yang kita tanggung. Cuma sesekali, datang juga rasa terkilan apabila keadaan menjadi tidak seperti mana yang kita harapkan.

Teringat pula satu artikel yang pernah saya tulis satu ketika dahulu, moga boleh memberikan sesuatu kepada pembaca...

“Sesungguhnya Allah itu cantik, Allah suka kepada kecantikan”
Ramai antara kita yang sedia maklum dengan maksud ayat di atas. Kecantikan, keindahan serta kebahgiaan adalah impian semua insan. Namun ada antara kita yang tidak pasti bagaimana untuk melahirkan kecantikan yang hakiki, luaran dan dalaman.
Hari ini, ramai yang hanya tahu melahirkan kecantikan secara luaran tapi dalaman masih hodoh dan kotor. Apa yang lahir hanyalah pandangan zahir sedangkan kecantikan hakiki, lahir dari hati yang suci.

JAGA SOLAT

“Sesungguhnya solat itu mencegah diri kita dari perkara buruk dan munkar”
Jelas janji Tuhan kepada mereka yang benar-benar mendirikan solat. Kebaikan untuk dirinya. Namun ada juga yang menunaikan tanpa menghayati menyebabkan solat itu menjadi sia-sia. Tiada kecantikan yang terhasil dari ibadatnya. Aduh, malangnya diri kita jika itu yang berlaku.
Setiap kali sebelum solat, kita diwajibkan untuk mengambil wudhu’. Diibaratkan setiap kali kita berwudhu’, lima kali sehari kita mandi. Bayangkan bertapa indahnya kecantikan yang diberikan Allah kepada kita. Tidak secara zahir, tapi rohaninya terisi dengan sedikit amalan wajib yang perlu ditunaikan. Kesan wudhu’ yang sempurna akan berseri-seri wajah kita, jika tidak di dunia, di akhirat akan dibalas jua. Apa yang perlu kita lakukan, jaga solat kita. Menjaga solat bukan sekadar melakukannya bahkan menunaikan dengan sepenuh hati, termasuklah menunaikannya di awal waktu. Lebih afdal jika ditunaikan secara berjemaah. Hakikatnya, di mana sahaja kita berada, kita wajib menunaikan solat. Tidak kira dalam keadaan apa sekalipun. Itulah yang akan menjaga kecantikan kita.

JAGA HUBUNGAN

Hubungan sesama manusia juga perlu dititikberatkan. Tidak guna juga berada di atas tikar sejadah tapi tidak bertegur sapa dengan mereka yang berada di sekeliling kita. Paling penting, hubungan ibu bapa. Pastikan ini yang terlaksana terlebih dahulu kerana mereka sentiasa mendoakan kebaikan kita. Amalan kita akan terhijab jika kita tidak diredhai ibu bapa. Doa mereka sentiasa dimakbulkan Tuhan.
Jiran kita juga perlu diambil kira. Siapa di sebelah kiri, kanan, depan, belakang, mahupun di hadapan. Begitulah juga jika di tempat kerja. Mereka yang berada di sebelah meja kita juga dikatakan sebagai jiran kita. Hubungan dengan mereka juga perlu dijaga sebaiknya. Jangan mengata, jangan mengutuk, jangan menyakiti hati jiran kita. Begitulah kita perlu menjaga hubungan dengan mereka. Bukan manis di depan tapi di belakang mengata. Biarlah manis di depan, manis juga di belakang. Itulah yang secantiknya.
Islam mengajar kita untuk memuji dan mendoakan perkara yang baik-baik sahaja untuk saudara se Islam kita. Kerana jika kita mendoakan kebaikan kepada mereka, kita juga akan diberikan kebaikan oleh Yang Maha Esa. Petua yang cukup mudah untuk menjadi cantik tapi sering kita lupakan.

JAGALAH HATI

“Jagalah hati, jangan kau kotori. Jagalah hati, lentera hidup ini,” pesan SNADA, kumpulan nasyid Indonesia yang popular dengan lagu Jagalah Hati.
Tiada keraguan untuk mendapatkan kecantikan yang hakiki jika hati kita suci murni. Bersih di dalam maka akan cantiklah diluar.
Banyakkan berselawat. Kerana antara mereka yang mendapat syafaat Nabi S.A.W di akhirat nanti adalah mereka yang senantiasa berselawat tanda cinta kepada Baginda.
Pilihlah ayat-ayat al Quran yang ringkas yang boleh diamalkan sebagai bacaan harian. Bukan sekadar dibaca tapi difahami dan diamalkan perintahnya, barulah lengkap kehidupan kita. Misalnya ayat seribu dinar yang sering menjadi ayat popular digantung di dinding. Alangkah indahnya jika ayat itu diamalkan bila difahami maksudnya. Barulah cantik jadinya.
Cakaplah benda-benda yang elok juga. Jika tiada perkara yang penting, maka elakkanlah dari berbual kosong bersama rakan-rakan. Salah cakap akan menjadi perkara yang lagho. Boleh menggelapkan hati pula. Sudah tak cantiklah pula.

SENTIASA SENYUM

Senyum merupakan satu terapi yang paling berkesan unttuk kelihatan cantik. Ini adalah kerana seyuman itu suatu sedekah. Mereka yang memberikan sedekah akan sentiasa dipandang cantik. Biarpun kulitnya kurang cerah, namun jika sentiasa tersenyum maka kelihatanlah menawan.
Begitulah juga jika mereka dalam keadaan gundah gulana. Perasaan sebegitu akan membawa kesan yang negatif pada paras rupa. Namun apabila kita sering tersenyum, maka terlindunglah wajah kita dari riaksi yang sebenar.
Senyuman juga akan membuatkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain. Secara tidak langsung, keperibadian kita akan terserlah dan kelihatan cantik apabila mereka mudah mendekati kita. Tidak berguna juga luarannya cantik tapi sukar untuk didekati.
Senyuman yang lahir dari hati yang bersih mampu juga mengubati hati saudara kita yang kesunyian. Mungkin secara tidak sedar saudara atau sahabat kita mempunyai masalah, lantas mencari kita untuk dijadikan teman bersembang. Hatinya pastikan tenang apabila melihat wajah kita yang senantiasa tersenyum. Jadilah senyum itu sebagai pengubat hati yang duka. Cantik tu!

BERFIKIRAN POSITIF

Mempositifkan pemikiran antara perkara yang sukar untuk dilaksanakan. Ini kerana kita terpaksa melawan nafsu jahat yang ada dalam hati kita untuk menjadi positif. Peringkat awal, kita perlu memaksa diri untuk menjadi positif.
Kawal pemikiran dari memikirkan perkara yang buruk. Sentiasa bersangka baik dengan apa yang berlaku. Mungkin sukar, tapi setelah lama dipaksa, diri kita akan biasa. Seperti juga puasa, pada awalnya agak sukar. Namun setelah dipaksa, diri kita akan biasa dengan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Tiada yang mustahil dalam dunia ini jika kita yakin untuk melakukannya.
Banyakkan beriadah atau bersukan. Rasulullah S.A.W berpesan, aqal yang sihat lahir dari badan yang sihat. Apabila badan kita sihat, kita mampu untuk berfikir secara waras maka lahirlah pemikiran yang positif.
Kurangkan aktiviti yang boleh mengganggu kesihatan kita seperti merokok, makan makanan yang berminyak, berlemak serta makanan daging yang berwarna merah seperti daging lembu. Ini adalah kerana ia boleh menambahkan kandungan haba di dalam badan seterusnya membuatkan emosi kita terganggu. Berbeza jika kita memakan daging berwarna putih seperti ayam dan ikan. Begitulah juga dengan minuman, kurangkan minuman yang berkafien. Ia boleh mambantutkan pemikiran yang waras.
Biarlah makanan yang kita makan membantu oksigen untuk terus sampai tepat ke otak dengan cukup. Kerana kekurangan oksigenlah yang boleh membuatkan kita tidak dapat berfikir dengan waras seterusnya mengganggu emosi kita. Emosi yang terganggu tidak dapat menghasilkan kecantikan pada diri.

ADAB SOPAN

Kelakuan kita biarlah sedap dilihat. Jangan sekali-kali menjadikan orang lain meluat dengan perangai atau tingkah laku kita. Misalnya, pakai tudung cantik dengan wajah ayu tapi menggedik sehingga naik bulu roma mereka yang melihatnya. Tidak cantiklah begitu.
Bagi yang perempuan, bukan sahaja wajib memakai pakaian yang menutup aurat bahkan jalan perlulah tunduk ke bawah, bukan mendada atau mendongak langit yang tinggi. Begitulah juga dengan lelaki, jaga pandangan jangan tersasar. Tapi itu tidak bermakna sebagai seorang perempuan dia harus akur pada semua keadaan. Misalnya bagi mereka yang bekerja, perlu melihat ke depan untuk memastikan dirinya di landasan yang betul. Mereka perlu juga bangkit untuk membela nasib jika ditindas.
Ramah biarlah kena pada tempatnya. Biarpun kita berjumpa teman lama, tapi itu bukan lesen untuk kita berbual sehingga yang lain menutup telinga. Hormati hak mereka, jagalah adab sopan kita. Tidak cantik dilihat jika tudung labuh dipakai tapi ketawa sekampung tersebar. Pelik tu!

ISTIQOMAH

Setiap perkara jika ingin mendapatkan natijah atau kesan yang baik, perlulah dilakukan dengan penuh istiqomah atau beterusan. Misalnya mengamalkan ayat seribu dinar. Kata ulama, jika diamalkan beberapa kali barulah ayat itu sebati dengan diri kita lantas memberi kesan yang positif.
Secara rasionalnya, apa jua perkara yang pada awalnya dipaksa akan menjadi ‘habit’ atau amalan kita secara tidak langsung jika kita sentiasa mengulanginya beberapa kali. Misalnya membaca selawat setiap kali selepas solat. Mungkin pada awalnya kita memaksa diri kita untuk membaca, tapi setelah tiga atau empat kali kita mengulanginya, ia akan menjadi rutin dan tanpa kita sedari ia akan menjadi amalan kita.
Biarlah kita menjadi seorang yang cantik secara batiniah dan lahiriah. Itulah sebaiknya. Jangan hanya cantik atau ayu di luar tapi di dalam penuh dengan keburukan. Cantik di dalam, ayu di luar. Handsome di dalam, macho di luar. Itulah sebaiknya.

Ulasan

Emansipasi berkata…
terlindungkah riak duka disebalik senyum paksa..

*terbaik!