Siapa, Kenapa dan Bagaimana...?


Siapakah yang akan kita cari tatkala kita berada dalam kesedihan?
Siapakah yang akan menenangkan hati kita tatkala kita berada dalam kebimbangan?
Siapakah yang akan kita luahkan segala kedukaan yang bersarang di jiwa kita?
Siapakan yang akan kita harapkan untuk memberi semangat tatkala kita di ambang keresahan?
Siapakah yang akan kita harapkan untuk mambantu kita?
Siapa? Siapa? Siapa?

Sedar tak sedar dah hampir 5 bulan saya menjalan perniagaan sendiri bersama rakan kongsi saya. Selama itu juga pelbagai rintangan dan halangan saya lalui. Biarpun kadang-kadang membuatkan saya patah hati untuk meneruskan perniagaan yang telah saya mulakan.

Hakikatnya perniagaan ini bukanlah milik saya sepenuhnya, berkongsi bersama dua orang sahabat yang telah saya anggap seperti keluarga saya sendiri. Merekalah yang banyak memberikan dorongan dan galakan kepada saya untuk terus dan terus tanpa patah semangat menggerakkan perniagaan ini. Begitulah juga dengan isteri saya yang menjadi tulang belakang saya dalam kehidupan seharian. Keluarga, tidak pernah lekang dari mengambil berat perihal perjalanan perniagaan saya. Dari masa ke semasa mereka bertanyakan tentang projek-projek yang terbaru. Tanpa mama dan abah, pasti saya tidak lahir ke dunia ini. Terima kasih mama, abah..

Langit tak selalu cerah. Adakalanya keadaan yang mencengkam jiwa berlaku juga. Projek yang dirancang dengan begitu teliti akhirnya tidak dapat dilaksanakan. Muhasahabah adakalah kunci kepada penyelesaian masalah. Mencari di mana kelemahan yang perlu diperbaiki. Terutama kerjasama antara rakan kongsi. Konsep kaki kiri dan kaki kanan diamalkan dalam syarikat saya. Masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Masing-masing menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan dengan tugas yang tersendiri. Saya menggunakan segala pengalaman yang ada dalam bidang pemasaran untuk memasarkan segala perkhidmatan yang kami sediakan. Tidak ketinggalan dari aspek pentadbiran dan kewangan. Seorang sahabat saya bertindak menggunakan ilmu yang beliau ada untuk menghasilkan rekabentuk-rekabentuk yang bermutu tinggi. Kami juga tidak ketinggalan menggunakan segala kemudahan teknologi moden yang ada untuk mencari pembekal dan juga pelanggan. Namun itu bukanlah cara yang utama. Keluar bertemu empat mata adalah cara yang paling terbaik. Bukan sekadar menggunakan telefon dan internet, kami keluar mencari dan terus mencari pembekal yang terbaik demi menyediakan service yang terunggul kepada pelanggan-pelanggan kami. Tidak dinafikan, kami tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang, mahupun setiap pihak. Akan tetapi itu bukanlah alasan untuk tidak memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan-pelanggan kami.

Adakalanya saya sendiri berada di persimpangan delima dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Nak diluah mati mak, nak ditelan mati bapak. Itulah perumpamaan yang boleh saya katakan.
"Untuk mencapai kejayaan itu umpama mendaki gunung yang tinggi. Banyak rintangan yang perlu dilalui sebelum sempat sampai di puncak,"
Begitulah pesan seorang ustazah kepada saya. Melekat terus di hati. Kata-katanya menjadi penguat semangat kepada saya untuk sabar dalam menempuh mehnah dan tribulasi.

Pelbagai lagi pengajaran yang saya perolehi untuk menjadikan saya seorang peniaga.
Bukan senang untuk menjadi senang, dan bukan susah untuk menjadi susah. Hakikatnya semuanya dengan izin Allah Taala. Bagi kita apa yang perlu di lakukan, D = Doa, U = usaha, I = Ikhtiar dan T = Tawakal. (DUIT)

Ulasan