Hitam itu Putih


Kelmarin kita mencari siapa kita. Semalam kita melihat siapa yang bersama kita. Hari ini, kita hilang, lupa diri apa yang telah kita lalui. Tiada lagi ungkapan sedar diri dalam diri kita. Adakah itu kita?

GELONG TAPI NAK LURUS

"Dia tu tak de pendirian lah. Macam lalang!" marahnya dia.
Setuju atau tidak, itulah tanggapan orang. Mereka adalah cermin kepada diri kita. Sepatutnya kita bersyukur kerana Tuhan yang telah menggerakkan hati mereka untuk menyatakan hakikat siapa diri kita. Namun kerana ego yang tinggi, menyebabkan kita menolak dan menafikan apa yang telah tersurat.

"kalau buat ke tak, ada nyusahkan orang?" dengan megah menjawab.

Bukan mudah untuk kita mengekalkan keindahan adab dan sopan kita. Sekelip mata kita mengubahnya, hanya kerana kita lupa siapa diri kita. Bila berlaku perkara yang tidak diingini, barulah kita terfikir akan kebenaran pandangan orang lain. Tika nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh diubah. Dosa tetap dosa. Haram tetap haram. Dosa takkan bertukar menjadi pahala. Haram takkan bertukar menjadi halal.

BERPANDU TAPI NAK BERCANDU

"Biarlah dia, nak jadi apa pun," keluh seorang ibu.

Kebodohan kita menjadikan kita buta pada panduan yang telah Tuhan sediakan. Jika Al Quran dan Sunnah sukar untuk difahami, kita diberikan mereka yang boleh dijadikan rujukan, rapat dengan kita. Pelbagai cara telah diusahakan untuk memberikan yang terbaik untuk kita. Tapi kita tetap buta!.

Jalan yang kita pilih adalah jalan yang menghala ke arah kebinasaan. Biarpun kita tahu itu bukanlah pilihan yang tepat. Hanya kerana keegoaan kita, kita menafikan hakikat yang sebenar. Jangan ditegakkan benang yang basah. Tidak akan lurus biarpun dipegang sepuluh jari.

DAH ADA TAPI TAK NAMPAK

"Ingat saya ni apa, disuruh buat itu, disuruh buat ini, macam kuli batak!" Bantah seorang pekerja.

Banyak sangat ke kerja nya?
Tak sempat nak makan ke?
Kena keluarkan budget sendiri ke?
Berat sangat ke tugasnya?

Menjadi sifat manusia, tidak pernah cukup dengan apa yang ada. Semakin hari, kita semakin tamak untuk mengejar hasil dunia. Tidak ada lagi kaya wang kaya iman. Hanya kaya wang lemah iman. Nafsu amarah menjadikan kita buta hati. Sedangkan Islam menjadikan semua perkara itu ibadah. Jika itu yang dibangkitkan, tiada lagi ibadah dalam pekerjaan.

Tukarlah ia! Mudah sahaja, segala perkara baik yang dilakukan diniatkan kerana Allah, maka ibadah lah jadinya. Ganjarannya, bukan sahaja di dunia, akhirat lebih lagi.

BERILMU TAPI DUNGU

"Smart gak nih, dia takde, line clear nih," jelas seorang teman.

Jadilah manusia yang sesuai dengan darjatnya. Jika kita mempunyai ilmu, biarlah bertindak seperti mereka yang mengamalkan ilmu. Ilmu itu bukan dibuku, tapi ilmu itu pada perilaku. Orang yang berilmu tidak akan melakukan perkara yang merendahkan maruah dirinya. Tiada guna menghabiskan masa bertahun-tahun menuntut ilmu, jika hasilnya hanya di lorong-lorong gelap. Berjam-jam di kelab. Berhimpun beramai-ramai di 'pub'. Tidak ketinggalan juga mereka yang bersubahat. Biarpun tidak melakukannya, namun mereka yang melihat tanpa ada sedikit pun rasa benci, maka dia bersubahat. Merelakan segalanya.

KISAH AL KASIH

Muhasabah cinta itu. Adakah untuk Dia? atau hanya untuk dunia? Segalanya mesti ditanya, bukan untuk sesiapa, tapi untuk hati yang alpa.

Relakan diri menerima kenyataan. Tidak perlu menjadi lalang. Mengikut angin bertiup. Jadilah seperti padi, semakin tunduk pabila berisi.

Buka mata lihatlah mereka. Adakah penjual minyak wangi atau pembuat besi? Mana satu menjadi pilihan. Itulah perumpamaan yang diberikan oleh Nabi kita, junjungan besar Nabi Muhammad SAW, tips memilih teman mahupun untuk berkawan.

Lihatlah juga, siapa ada tika kita gembira. Siapa pula yang menemani tika kita berduka. Hakikatnya, kita tidak pernah terpisah dari kasih Yang Esa....

Ulasan