Pulihkan Semangat Itu...


"Saya memang tak leh hidup tanpa dia, bang. Hilang dia, tak bermakna lagi hidup saya ni bang!" sambil berair mata menerangkan keadaannya.

Sekali fikir, sememangnya kita tidak mampu hidup tanpa kasih sayang manusia. Siapalah kita untuk menafikannya. Kecewa, marah, berdendam dan seumpama dengannya muncul dengan tiba-tiba. Bukan diundang, tapi hadir atas bisikan syaitan. Sejak muncul, tidak pernah dia berhenti untuk menyesatkan anak Nabi Adam. Itu adalah janjinya. Salah pilih musuh? Kita sebenar dan sepatutnya berperang dengan diri sendiri. Bukan dengan pihak lain, tanpa ada kaitan walau sedikitpun.

BERUBAH KERANA TUHAN

"jangan terkejut kalau satu hari saya kembali ke perangai lama saya, kalau saya hilang dia,"

Allah berpesan yang bermaksud, sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu melainkan dia mengubahnya terlebih dahulu.
Itulah janji Tuhan. Namun kita terlupa seketika bahawa Dia sentiasa melihat kita. Mengapa kita perlu berubah demi manusia? Sedangkan Dia sentiasa ada bersama kita. Kerana itulah kita perlu niatkan segala apa yang kita lakukan adalah kerana Dia Yang Maha Esa. Barulah perubahan itu akan kekal abadi.

Contoh berubah bukan kerana Tuhan, di depan orang tua penuh dengan adab sopan, tapi di belakang mereka, perangai tak ubah macam syaitan. Sepatutnya, bukan kerana orang tua, tapi kerana Tuhan. Dia sentiasa melihat kita walaupun waktu ketiadaan orang tua. Itulah yang patut ditanamkan dalam hati.

PERMULAAN YANG BAIK

"Redha Allah itu pada redha kedua ibu bapa,"

Mengecapi keredhaan Tuhan itu bukan hanya pada perkataan. Keredhaan yang hakiki hanya dapat dirasa apabila kita mengikuti segala apa yang telah disyariatkannya. Langkah pertama, adakah mendapat perkenan kedua ibu bapa kita? Perkenan ini bukan setakat mengizinkan tapi dengan sebenar-benarnya, penuh kepercayaan tanpa ada syak wasangka. Walaupun setitik cuma syak wasangka itu timbul, maka keredhaan itu sukar untuk diperolehi. Mudahnya, kita tidak tenang dengan apa yang kita lakukan. Biarpun nampak bahagia, tapi dalam fikiran penuh dengan persoalan. Rasa terancam. Perkara yang positif akan menjadi negatif dan begitulah sebaliknya. Gembira dengan maksiat yang dilakukan. Tidak pernah rasa bersalah dengan kemungkaran yang berlaku, bahkan bangga dengan apa yang terjadi. Semakin hari, semakin alpa dan lalai dibuai nafsu durjana. Nasihat dan panduan, diberikan tapi dibenci. Pelbagai lagi tanda-tanda yang boleh diperhatikan, untuk menilai sendiri samada kita benar-benar mendapat keredhaan Nya, atau tidak.
Ingin menggapai keredhaan inilah, satu permulaan yang baik.

KEKALKAN PERMULAAN ITU

"Istiqomah dengan apa yang telah diperintahkan,"

Apabila telah berlakunya satu permulaan yang baik, kita diajar untuk mengekalkan kebaikan permulaan itu. Jangan dibiarkan ia punah di tengah-tengah. Misalnya, mengambil kesempatan atas kepercayaan yang telah diberikan. Kali pertama, mungkin kita tersalamat. Namun terselamat kali pertama, tidak semestinya kita akan selamat untuk kali ke dua. Begitulah juga untuk seterusnya. Terselamat itu, merupakan peluang yang diberikan oleh Tuhan. Peluang untuk kita kembali merubah keadaan yang tidak baik kepada lebih baik. Inilah manusia, sering terikat dengan kata-kata manusia tidak lari dari kesilapan. Namun kita juga perlu mengelak dari melakukannya. Bukan membiarkan ia berlaku tanpa diundang.

PANDANGLAH, LIHATLAH

Redha dan berlapang dengan apa yang berlaku. Setelah apa yang telah kita usahakan. Jika itu kehendak Dia, maka terimalah ia sebagai satu hadiah dari Yang Maha Esa. Tidak perlu menyalahkan, tidak guna juga untuk mempertikaikan. Jalan itu yang telah kita pilih, maka terimalah ia sebagai ketentuan Tuhan.

Tanda cinta kepada Nya, adalah untuk beriman, berikrar dengan lidah dan membenarkan dengan hati, apa yang disampai dan dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar-benar belaka serta beramal dengan anggota badan.

Sementara kita diberi peluang untuk memilih, pilihlah dengan penuh keimanan. Jalan yang mana perlu dilalui. Jangan sampai nanti di sana, tiada pilihan lagi untuk kita, meronta dan merintih untuk kembali semula, membetulkan kesilapan. Segalanya sudah terlambat...

Ulasan