30 SYAWAL 1434H

Assalamamualaikum buat semua yang masih setia membaca...
Sedar tak sedar kita telah menghampiri pintu penutup Syawal Al Mubarak...
Sudah sekian lama juga kan, saya tidak mengemaskini laman sesawang ini. Semakin bersawang jadinya. Mungkin hambatan masa atau ketandusan idea menjadikan kelu untuk jari jemari ini mengetuk petak kekunci komputer saya. Tambahan pula tuntutan keluarga yang perlu diutamakan. Namun itu tidak menjadikan saya lemah, bahkan bersyukur saya hadir dalam situasi yang benar-benar menguji iman dan ilmu yang ada..

Alkisah, tujuh perkara sahaja yang menjadi tumpuan saya... 7 I


1. IMAN

"Iman bertambah dan berkurang"
Itulah pesan Nabi Muhammad SAW kepada kita, umatnya yang sentiasa mendapat peluang terbaik dari Allah Taala.
"Saya nak bertaubat bang. Saya tahu saya jahil, saya bodoh, saya buta..."
"Saya bersyukur Tuhan berikan dugaan ini, untuk saya berubah. Kalau tak, sampai bila pun saya masih leka,"
Pesan saya, "bersyukur Tuhan memberikan peluang kepada kita untuk terus bertaubat. Ada juga antara kita, telah diberikan peluang kedua, masih alpa dan leka. Diberikan peluang ke tiga, juga mempersia. Hinggalah usia di hujung nyawa, masih ego dan bangga,"

Hati itu milik Tuhan, tiada siapa yang tahu bila ia akan berbolak balik. Apa yang penting, kita perlu terus memulakan dengan perkara yang baik, meneruskannya dan akhirkannya dengan perkara yang baik.

2. INSAN a.k.a MANUSIA

"No body perfect"
Ungkapan yang sering kita dengar dan ucapkan. Namun jika manusia itu tidak sempurna, adakah menjadi alasan untuk kita mengejar kesempurnaa? Adakah kita menanti untuk menjadi sempurna, baru kita memulakan tugasan kita sebagai manusia?
Nabi Muhammad SAW berpesan, "sampaikanlah dari ku walaupun sepotong ayat,"
Tidak menantikan ilmu penuh di dada, barulah kita berpeluang untuk menyampaikannya. Apa yang kita tahu akan kebenarannya sampaikanlah, begitu juga jika kita tahu akan keharamannya, tegurlah. Yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Tidak mumayyiz kita sekiranya, kita tidak dapat membezakan antara yang halal dan yang haram. Mungkin menjadi perdebatan pada perkara yang berada di tengah-tengah. Rujuklah pada yang pakar.

3. INTENSIF

"Man jadda wa jada"
Siapa yang berusaha, dialah yang akan mendapat hasilnya. Tidak kira dalam apa jua yang kita lakukan, semuanya perlukan kesungguhan. Tidak ada yang datang bergolek, mahupun turun dari langit. Nabi Muhammad SAW sendiri berdakwah untuk menyampaikan Islam. Baginda juga berperang untuk pertahankan Islam. Inikan pula kita, hanya manusia biasa.
Jangan diharap kejayaan akan datang bergolek, jika asasnya telah dicampurkan dengan perkara yang mungkar. Misalnya, inginkan kecemerlangan dalam peperiksaan, akan tetapi keluar berdua "dating" di taman bunga. Yang paling menyedikan, berdoa pula pada Tuhan, "Ya Allah, kekalkan hubungan kami ini hingga ke syurga". Berdua-duaan, berpegangan tangan dengan mereka yang bukan ahli keluarga, bercerita perkara yang mensia-siakan dan pelbagai lagi yang menjurus kepada kemaksiatan. Kisahnya, bercinta, menjalankan aktiviti yang dilarang agama dan yang peliknya, boleh pula berdoa, untuk sampai ke syurga! Di mana kesungguhannya untuk mencapai kejayaan?
Berusaha, berikhtiar dan bertawakal. Itulah yang diajarkan. Inginkan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan, rajin-rajinlah mengulangkaji pelajaran, datanglah ke kelas tambahan, latihan jangan pernah ditinggalkan, Al Quran sentiasalah dibaca... Doa dan restu orang tua, jgn pernah dilupa..

4. INSENTIF

"Siapa yang membantu agama Allah, Allah akan membantu dia,"
Itulah janji Allah kepada kita hamba Nya. Tidak perlu khuatir dengan sedikit usaha kita untuk agama kita. Selagi kita termampu, dan selagi kita terdaya, usah berkira dengan kerja-kerja di jalan Allah. Biarpun kadangkala menguji kesabaran, namun jalan seorang pembela agama itu, tidak dibentangkan dengan permaidani merah. Namun dipuncak, kita dapat melihat kebahagiaannya.
Ceburilah bidang sukarelawan. Banyak faedahnya. Apatah lagi jika kita menjadikan sukarelawan ini sebagai salah satu aktiviti wajib kita. Bukan sahaja di dunia, Allah memudahkan urusan kita, bahkan saham di akhirat, sudah menanti tanpa kita risaukan lagi. Jika tidak pada kita, Allah akan kurniakan kepada mereka yang berada di sekeliling kita. Cubalah, saya telah merasakannya. Syukur Alhamdulillah....

5. INTAN PAYUNG

Bagi mereka yang sudah bekeluarga, anaklah menjadi bukti cinta sejati antara suami dan isteri. Bukan sahaja kuantiti, bahkan kualiti juga sangat diharapkan oleh pasangan. Anak yang soleh dan solehah menjadi harapan kedua ibu bapa. Begitu jugalah dengan saya. Melayan kerenah seorang hero, sememangnya menguji kesabaran. Namun itulah, amanah Tuhan yang tidak boleh kita abaikan.
"Anak umpama kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya,"
Gentar saya mendengar pesan itu. Mampukah saya mendidik sehingga dia menjadi seorang anak yang soleh? Mudah-mudahan, Allah sentiasa memberikan panduan dan pedoman buat saya bagi terus mendidik cahaya mata sulung ini. Jika orang tua saya mampu mendidik anak-anak mereka sehingga menjadi manusia, kenapa tidak saya? Apa yang penting, kawallah, didiklah, ajarlah, tegurlah, bentuklah, selagi kita masih mampu untuk melakukannya. Jangan sampai nanti, kita menyesal, kerana tidak menjalankan tugas yang sepatutnya.
"sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan, sayangkan anak, tangan-tangankan," pepatah Melayu yang penuh dengan 1001 maksud.

6. ILMU

Berani saya katakan, tiada siapa antara kita yang menolak akan kepentingan ilmu. Tanpa Ilmu, tiadalah iman, tanpa iman tiadalah ketaqwaan.Tanpa ketaqwaan, siapa lah kita di sisi Dia Yang Maha Esa. Hanya liang lahat menjadi pengakhiran jalan untuk kita berhenti mencari ilmu. Selagi kita bernafas, jangan pernah berhenti untuk mencarinya.
Berjumpa dengan seorang guru, berbincang mencambah minda, merupakan satu kepuasan yang tiada tolok bandingnya. Menyedarkan diri betapa kurangnya ilmu dalam dunia yang serba moden ini. Namun, masih juga ada antara kita yang ego untuk tidak mencari ilmu. Peluang yang diberikan, disia-siakan. Bahkan, diperlekehkan, seumpama mereka yang memberikan ilmu itu peminta sedekah yang menanti di tepi jalan. Nauzubillahiminzalik!
Egonya kita untuk tidak mencari ilmu, menjadikan kita jauh dari Allah. Hilang cinta kepada Rasulullah SAW dan secara tidak langsung, kita sendiri yang menghina Tuhan dan Rasul kita. Misalnya, kita marah dengan mereka yang secara terang-terang menghina Islam, tapi pada masa yang sama, kita tidak mendirikan solat. Kita juga menghampiri zina. Kerana apa ini terjadi, kerana kurangnya ilmu. Akhirnya, kita meludah ke langit, jatuh semula ke muka kita. Kita menjadi PENGHINA TUHAN DAN RASUL!

7. ISLAM

Gempar dengan kisah yang melanda Mesir, Syria dan Palestin. Begitu juga di tempat-tempat lain, di mana Islam semakin ditindas. Setiap hari, paparan kisah mereka akan menjadi bahan media elektronik mahupun media cetak. Persoalannya, apa yang kita rasa??
Ada yang bodoh, yang menidakkan tanggngjawab kita sesama Islam. Ada juga yang lantang bersuara membidas semua tindakan yang dijalankan. Ada juga yang bersikap berkecuali, untuk tidak campur tangan dalam masalah yang berlaku. Persetan dengan mereka yang tidak punya rasa, bukti kejahilan dia sebagai manusia!
"Kami tidak perlukan wang ringgit, apa yang kami perlukan adalah DOA"
Ungkapan yang mereka sampaikan. Diceritakan semula oleh seorang guru yang baru pulang dari Mesir. Hampir menitis air mata, apabila digambarkan kesungguhan mereka untuk mempertahankan hak Islam. Jika dibandingkan dengan anak-anak muda kita, jauh berbeza. Islam kita, dimomokkan dengan khayalan fantasia. Hingga hilang semangat jihad. Lesu, lembik, lemah, longlai, lembap, itu lah yang boleh digambarkan kepada sebahagian anak-anak muda belasan tahun hari ini. Mengapa ini berlaku di bumi yang dikatakan aman dan sejahtera ini? Merdeka 56 tahun??
Bangkitlah sebelum terlupa, persiapkan diri. Belum terlambat untuk bermula. Jangan sampai kita tidak mampu berjuang nanti!

Ulasan