ESOK YANG MENJENGAH??... 7 S

adik-adik kem sahsiah di nur lembah pangsun

Pastinya, ada antara kita yang sedang bersantai. Ada juga yang sedang menyediakan juadah petang. Tidak kurang juga yang masih bertungkus lumus menyiapkan tugasan untuk hari ini. Malam ini, mungkin jalan raya sesak kembali, peluang yang diambil warga kota untuk merehatkan minda bersama keluarga, bersempena dengan cuti Malaysia tanggal 16 Sept ni, hari Isnin. 
"Cikgu, boleh tak buat kelas hari ini? Esok saya nak balik kampung bersama family, so tak boleh nak buat kelas malam esok," minta seorang anak murid saya. 
"Oh ye ke, tapi cikgu dah sampai rumah dah," terang saya. Mesej itu sampai jam 8.37 malam waktu Malaysia. Mungkin jika mesej itu sampai tatkala matahari terbenam, mungkin saya akan pertimbangkan permintaan beliau. Tapi apakan daya, saya telah sampai pun di rumah. Perjalanan sejam dari rumah ke pejabat menjadikan saya mempunyai alasan yang tersendiri untuk tidak keluar lagi setelah, menjengah punggung ke sofa. 

S 1 :: SEDIA

Siap sedia dalam apa jua keadaan menjadikan saya begitu positif dalam menghadapi rintangan. Namun ada kalanya juga, nafsu amarah itu mengundang menguasai pemikiran. 
"Amsyar!!! Kenapa yang tiba-tiba nak selongkar habis barang dalam kereta abi nih??" suara saya meninggi, sambil mata merenung tepat ke anak lelaki saya. 
Dia hanya terus kaku, mencari tempat menyorokkan muka, tidak mampu untuk bertentang mata dengan saya. Seolah-olah dia memahami apa yang terjadi ketika itu. 
Tiada terniat sebenarnya untuk meninggikan suara, atau menengking kepada si kecil itu. Tapi berada di luar kawal tatkala badan dan akal keletihan menjadikan kita berada di bawah pengaruh nafsu syaitan. Apatah lagi syaitan tidak dilokap, menjadi-jadilah syaitan membisikkan godaan ke telinga anak adam yang hina ini. 
Sentiasalah dalam keadaan istighfar kepada Allah. Bacalah doa pada awal setiap perbuatan, paling tidak bacalah Basmallah. Carilah punca air, supaya boleh untuk kita mengambil wuduk selepas atau tika nafsu ammarah itu mengundang. 

S 2 :: SABAR

"Siapa tak marah kalau dah macam tu jadi nya!" 
Seorang ibu menghantar sms ke telefon saya. Isu anaknya difitnah. 
"Sabar lah kak, mudah-mudahan ini adalah tanda Allah sering memerhatikan anak akak, dan Dia berikan dugaan untuk menguji keimanan anak akak," jelas saya. Cuba untuk menenangkan si ibu yang turut sama marah dengan situasi yang berlaku. Tidak perlu saya hebahkan, apakah situasinya, kerana itu bukan isunya. 
Biasakan kita mendengar ungkapan ini, "aku bukan Nabi, yang ulul azmi! Aku manusia biasa, mesti ada perasaan marah!"
Ungkapan yang biasa digunakan sebagai langkah "escapism" untuk tidak berlaku sabar. Sabar itu umpama udara yang segar. Tidak dapat dilihat dan sukar untuk dinikmat. Namun, jika berjaya dikecapi, kesegaran, kenikmatan dan kebahagiaannya, akan jelas dirasai. Ia juga perlu dilatih, barulah ia akan kekal abadi dalam diri. 

S 3 :: SANTUN

"Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa,"
Itu pepatah Melayu yang sering kita dengar. Memang tidak dinafikan ajaran turun tumurun datuk nenek moyang kita juga, mengajar erti sopan santu dalam setiap perbuatan. Selamanya kita diminta untuk berbuat baik dan menghormati sesama kita. Namun ada yang kurang dalam diri kita, mengharapkan balasan serta tidak mengenang budi. 
"Saya sentiasa hormat orang, tapi kenapa orang buat saya macam ni ha???"
Seorang pemuda meluahkan rasa tidak puas hatinya, kerana ada perkara yang dia inginkan tidak dituruti. Sedangkan perkara yang tidak dituruti itu, adalah yang terbaik buat dirinya. 
Setiap apa yang kita lakukan, biarlah kerana Allah Taala. Jangan sesekali kita melihat kepada pandangan manusia. Biar kita menagih ihsan dan belas dari Allah, tapi bukan pada manusia. Biar balasan baik dan buruk itu datang dari Allah, dan bukan balasan buruk dari kita. Jika lari dari prinsipnya, maka kita sendiri boleh menilai, keikhlasan santun yang kita berikan. 

S 4 :: SEMAI

Saya tertarik dengan pernyataan seorang guru, "kawallah sementara boleh kawal. Nanti dah tak boleh nak kawal, baru lah rasa nak nyesal bila semua nasihat tak didengar," Mungkin guru ini meluahkan rasa kekesalannya kepada ibu bapa sekarang yang melepaskan tanggungjawab mendidik itu sepenuhnya kepada guru-guru. Tambahan lagi, setiap tingkah laku si anak, dibiarkan sahaja tanpa ada pengawalan yang sewajarnya. Sedangkan kota hari ini, penuh dengan pengaruh khayalan. Salah langkah, akan terjerlus ke lembah hina, tiada menjadi seorang manusia. Terlalu yakin dengan kata-kata si anak, menjadikan si ibu atau si bapa hilang izzah sebagai seorang pencorak dalam keluarga. 
Adakalanya, kita perlu menarik, dan ada kalanya kita perlu melepaskan. Ibarat layang-layang di udara. Corakkanlah ia, agar terbangnya kelihatan cantik di udara. Jangan terputus talinya, terbangnya hilang punca mengikut arah angin semata. 

S 5 :: SEBUT

Dalaman yang cantik, akan menjanjikan luaran yang cantik. Namun luaran yang cantik, belum pasti dalamannya bersih dan suci. 
Sebagai manusia, kita akan terpanggil untuk menyebut perkara yang baik-baik sahaja. Menterjemahkan apa yang dicipta oleh Allah kepada makhluknya menjadikan diri kita sebenara-benar manusia yang bersyukur.
Sedih melihat remaja yang lemah sebutannya untuk memuji kebesaran Allah SWT. Mereka lebih mudah untuk melafazkan kata-kata cinta sesama mereka. Cinta kepada Tuhan? Hanya wujud tika ditimpa musibah atau dalam kesempitan. Itu pun masih lagi ada yang tidak sedar, ditimpa musibah, masih lagi menyebut perkara yang sia-sia. 
"Susah betul nak makan, bila dalam mulut ni ada luka, F**K la!!!!!" 
Merungut dan menterjemahkan rungutan kepada perkataan yang sia-sia untuk disebut, menambahkan lagi tidak bersyukurnya kita sebagai manusia. Sewajarnya, kita menyebut istighfar kepada Allah Taala. Memohon ampun jika itu adalah balasan untuk dosa-dosa kecil kita. Berdoa jua agar disembuhkan penyakit itu, serta berazam untuk menjadi lebih baik setelah sembuh dari segalanya. 

S 6 :: SELALU a.k.a Istiqomah

Amalkan, bukan hanya buat tika tahu. Perkara yang menjadi rutin, akhirnya akan menjadi mudah dan lali dengan tubuh badan kita. Misalnya puasa, awalnya memang menjadi keterpaksaan untuk menunaikan puasa. Namun jika kita amalkan, akhirnya kita akan biasa dengan amalan itu, tanpa ada rungutan, hanya nafsu yang mengganggu. Begitu jugalah dengan perbuatan baik yang lain. Kebiasaannya, perkara yang baik ini, menuntut pengorbanan untuk kita lakukan. Masa, wang ringgit, tenaga, akal fikiran dan pelbagai lagi. Pada peringkat permulaan, kita akan diganggu dengan bisikan syaitan yang mempersoalkan kepentingan yang diperolehi. Pasakkan dalam minda, setiap perkara yang baik, Allah janjikan ganjarannya. Tidak ada perkara yang baik yang kita lakukan, Allah terlepas pandang, walaupun sebesar zarah. Itu janji Tuhan.

S 7 :: SOLAT

Tiang agama. Segalanya berpunca di sini. Biarlah kaya mana sekalipun, solat hancur, tiada makna kekayaannya. Miskin harta, solat terjaga, kehidupan sering bahagia. Apatah lagi bagi mereka yang kaya harta, ditambah lagi dengan solat yang terjaga. Subhabnallah, indahnya kehidupan mereka. 
Sebarang permasalahan, solatlah. Berbicaralah dengan Tuhan. Biar Dia yang memberi panduan untuk membantu menyelesaikan. Semakin kita dekat dengan Dia, semakin dia hampir dengan kita. Bagi mereka yang belum mengenal erti solat, carilah sinar itu, belum terlambat. Hidayah perlu dicari, bukan hanya dinanti... 


Ulasan