THE KAHAANI... THE STORIES


Bismillahirrahmanirrahim... 

Sekian lama tidak bertegur sapa... tertanya-tanya, bagaimana pula kabar nya? Semoga semua nya berada dalam keadaan sihat walafiat. Melihat sebuah banglo yang tersergam indah, pasti kita akan membayangkan hanya mereka yang berpendapatan tinggi sahaja mampu untuk memenuhi ruang kosong bertaraf 5 bintang ini. Namun pandangan sisi yang lain, banglo seusia hampir puluhan tahun ini, menyimpan pelbagai kenangan memori terindah ramai pengantin dan juga keluarga yang bertandang ke sini. The Kahaani atau bermaksud cerita, mengabadikan banyak memori indah mereka yang melaksanakan majlis di sini. Tidak kira golongan atasan, pertengahan mahupun mereka yang bergelar marhain. 
PERSONA DELI

Pagi ini bersarapan di persona deli berhampiran dengan vila mewah ini, merasa begitu puas hati. Roti telur dan nescafe ais menjadi pilihan. 

"Boleh pakcik duk sini," tiba-tiba satu suara menyapa dari depan. 
Mata yang pada awalnya menatap mesej dari whatsapp bertukar memandang ke hadapan. 
" Boleh pakcik, tak da orang. Duduk lah," saya menjawab. Riuk wajahnya persis seorang yang saya kenal, tapi lupa di mana. 
Kueh teow goreng dan kopi panas manis menjadi pilihan. Melihat urat yang timbul di tangan, saya merasakan dia seorang yang kerja kuat. 
"Pakcik dari mana?" saya memulakan perbualan. Tidak seronok pulak makan berdepan dan hanya mendiamkan diri. Apa pula nanti ingatnya, anak muda yang tidak pandai untuk bersuara. 
Rancaklah kami bercerita pengalaman kerja dan pelbagai lagi sampai lah ke isu pembangunan negara. 

Apa yang boleh saya simpulkan, dia merupakan seorang penuh dengan pengalaman kehidupan. Bermula dari seorang pegawai Polis, sehinggalah sekarang dia bergelar seorang runner. Begitulah percaturan hidup, apabila Tuhan menghendaki berlakunya sesuatu, maka terjadilah ia. 

"Pakcik, maaf saya kena gerak dulu. Saya kena masuk ofis di KL. Inshaa Allah jika saya memerlukan sebarang bantuan dan pandagan, saya akan hubungi pakcik," saya cuba menamatkan perbualan dengan pakcik kerana jam dah menunjukkan 10:00 pagi. Perjalanan k KL lebih kurang 2 jam juga. 

JALAN YANG SEBENTAR

Sepanjang perjalanan saya ke pejabat, masih terngiang-ngiang, perbualan saya dengan pakcik. Banyak juga pengajaran yang saya dapat. 
1. Kerja jangan pernah berkira
2. Mereka yang berada di sekeliling adalah rezeki dari Allah.
3. Usia bukan menjadi penghalang untuk kita terus berusaha.
4. Ibadah bukan hanya khusus di tikar sejadah. 
5. Ingin berjaya, jangan malu untuk menuntut ilmu
6. Jangan pernah menganggap diri sendiri hebat dari orang lain.
7. Tiada pekerjaan yang tiada rezki selagi pekerjaan itu halal.
8. Anak-anak merupakan rezeki Allah yang tidak ternilai.
9. Selagi ada ruang, di situ ada jalan untuk mencari rezeki
10. Di mana ada rezeki, di situ ada redha Allah.

Tanpa sedar, saya selamat sampai di ofis. Allahu, rasa sekejap sangat perjalanan tadi.


Ulasan