Selamat Hari Wanita...


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Permulaan Rejab yang mulia. Seiring dengan hari wanita. Begitu mulia mereka di sisi Tuhan. Bukan kerana nama sebagai wanita tapi pengorbanan dan tanggungjawab yang digalas. Menjadi rusuk bagi seorang lelaki yang bergelar suami. Begitu juga menjadi ibu bagi mereka yang bergelar anak. Apatah lagi si memantu yang menjaga mertua yang mungkin sakit. Tak terjangkau dek akal di mana kudrat mereka yang luar biasa. Sesekali si ketua keluarga cuba untuk mengambil alih tugasan, namun keseniaannya tidak setanding si manis. Itu lah kelebihan yang dikurnia Tuhan. Sememangnya Tuhan itu mahal adil. Digandingkan sebagai pasangan yang ideal. Pemarah dengan penyabar. Penyepah dengan pengemas. Pengotor dengan pembersih. Itulah caturan yang luar jangka. Jodoh dan pertemuan itu, telah ditentukan sejak di Luh Mahfuz lagi. 




Seawal jam 5.00 pagi, menggesek-gesek mata, menerangkan mata. Persediaan anak perlu dilunaskan. Bekal makan, baju untuk digosok, air panas utk mandi dan memeriksa buku antara tugasan awal yang perlu dilaksanakan. Jam 6.30 pagi, van sekolah sudah terpacul. Hanya mempunyai satu jam tiga puluh minit sahaja untuk membereskan semua tugasan itu. Tugasan yang tidak berbayar, tapi dipandang dan dikira oleh Dia Yang Maha Esa. 

Jam 6.00 pagi, waktu yang tepat untuk membangunkan si anak. Mujur si anak mudah untuk dikejutkan. Syaratnya, tidur seawal jam 9 malam. Pastikan 8 jam cukup untuk si anak melelapkan mata. Kadang terbabas juga. Itu lumrah biasa. Cuma si ibu harus berjaga-jaga, agar tidak terlajak. Biasanya, si ibu akan mencari tempat tidur yang agak tidak selesa agar mudah terjaga. 

Kadang sempat juga si ayah mengejutkan anak, boleh menjimatkan masa si ibu. Kalau kena dengan si ibu yang berkerjaya, lebih kelam kabut. Mana nak setelkan anak, nak setelkan baju kerja dan apa lagi nak setelkan sarapan pagi untuk keluarga. Di sinilah perlunya toleransi si ayah. Meringankan sedikit beban si ibu. Antaranya, pakaian si ayah, uruslah sendiri. Sarapan lah di kedai, agar tidak kelam kabut si ibu. paling tidak, cukuplah dengan si ibu menyediakan secawan kopi. Itu pun sudah cukup bagus. 

Tepat jam 7, siap sedia pula untuk anak yang lain pula nak ke tadika. Nama pun tadika, jadi manjanya lebih. Kalau dengan si ayah, memang tiada lagi maaf bagi mu. Tapi belaian ibu itu, mematahkan kemanjaan si anak. Dengan penuh lembut, membelai dan menyisir rambut si anak. Tanpa membantah si anak hanya menurut segala yang disediakan ibu. 

Selesai semua menunaikan tanggungjawab di persada ilmu dan lapangan kerja, Si ibu di rumah meneruskan kerja-kerja rumahtangga yang lain. Bersedia pula untuk menyediakan makan tengahari untuk si anak. Mujur si ayah makannya di pejabat. Jadi menyediakan menu kegemaran anak-anak sahaja. Jika tidak, perah otak lagi untuk masak menu makanan suami pula. 


Ayam goreng, menu yang mudah buat anak-anak. Cuma kalau kena dengan anak yang tidak menggemari ayam, jenuh juga si ibu memikirkan menu masakan lain. Apatah lagi, masing-masing minta menu yang berbeza. Pendek kata, semua barang mentah, seelok-eloknya tersimpan di dalam peti sejuk. Itu peranan si ayah, sebelum ke tempat kerja, penuhkan peti sejuk dengan bahan mentah agar mudah si ibu menyediakan makanan. 

Selesai makan tengahari, menemai anak pula menyelesaikan kerja sekolah yang dititipkan oleh cikgu. Kadang, si ibu yang tolong menyudahkan apabila si anak mula terasa penat dan letih. Alah bisa tegal biasa. Itulah tugas ibu bagi menjaga hati si anak dan tidak membuat onar pagi esok nya. Jika punya masa, lelap lah seketika setelah semua nya selesai. Anak-anak dan ibu melepaskan lelah seketika sementara menanti waktu petang. 

Sebelum terbenamnya mentari, anak-anak berlari, bermain, menaiki basikal dan pelbagai lagi aktiviti riadah yang lain. Saat si ayah menanti habisnya waktu kerja, si ibu menjaga keselamatan anak sewaktu beriadah. Nampak mudah, tapi ketajaman mata diperlukan agar tidak terlepas pandang aktiviti si anak. Saat ini juga lah si ibu mengambil peluang untuk bertanya kabar dengan jiran tetangga. Membenarkan akal fikiran berputar dengan mengambil peduli apa yang berlaku di sekeliling. Info perlu lengkap agar tak salah untuk disampaikan pada si suami nanti. 

Jam 8:00 malam, kadang lambat si suami sampai di rumah. Tergantung juga jika tiba-tiba si suami kena 'over time', jam 12 malam kadang baru sampai. Pernah juga sehingga jam 1 ke 2 pagi atau tidak pulang langsung. Tergantung pada jenis pekerjaan si suami. Ada juga yang berbulan-bulan tidak pulang. Namun si isteri terima dengan redha, kerana itulah tanggungjawab si suami. Aktiviti di rumah perlu diteruskan juga. Makan malam, perlu disediakan. Anak-anak sambung ke kelas mengaji. Biarpun ilmu di sekolah telah digapai, namun teknik haraki untuk mengaji perlu berguru secara berdepan. Istilah orang putih, 'face to face'. Ada yang cepat, ada yang agak perlahan. Apa yang pasti, perlu menuntuk secara betul makhraj dan hukum tajwidnya. 

Santai di waktu sebelum tidur, merupakan peranan yang penting. Ada yang suka membacakan buku, ada yang menonton dan ada juga yang akan berbincang dan berbual anak beranak. Apa pun aktivitinya, kata-kata semangat perlu ditanamkan di benak fikiran si anak sebelum mereka tidur, agar mereka kekal rasional saat mereka terjaga dari tidur. 

Setelah semua nya dibuai mimpi, si ibu belum berhenti merawat diri. Keletihan seharian, dipicit-picit kaki, umbum-umbum, lengan dan menyuci muka yang seharian berminyak dek peluh yang telah kering. Biarpun si suami kadang mendengar dengan mata terpejam, jauh di sudut hati seorang suami saat itu, berdoa kepada Yang Maha Esa, agar memelihara jodoh nya. Pengorbanan dan kesungguhannya tiada galang ganti. Biarpun nanti suatu masa terpaksa terpisah kerana ajal berkunjung tiba, hanya Tuhan yang mampu melindungi isteri tercinta. Berikan dia kesihatan yang terus kekal hingga akhir usia agar dapat mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah.

Tiada terbalas dengan nikmat dunia. Hanya Dia Yang Maha Kuasa penentu segala. 

Wassalam


Abu Darwish
080319
1REJAB1440 


Ulasan