Ahlan Ya Zulhijjah

Assalamualaikum wrt wbt

Zulhijjah mendatang, tidak lama lagi kita akan menyambut kedatangan Aidiladha. Hari yang dinantikan oleh tetamu Allah, yang dipilih untuk menjalankan ibadah haji bagi tahun 2019. Pasti syahdu juga buat ahli keluarga yang kehilangan mereka di Tanah Suci. Satu sisi lain, kita seharusnya bersyukur kerana mereka diangkat saat menjadi tetamu Allah, mulianya mereka. 

SYUKUR TIADA SEMPADAN

Bagaimana pula kita yang belum dijemput Allah sebagai tetamu Nya? Pastinya kita menantikan ketibaan waktu yang kita inginkan. Rugilah mereka yang sudah berkemampuan, tetapi tidak diberikan keinginan untuk ke sana. 

Nikmat itu, kelihatan sangat jauh. Namun dia akan hadir dengan segera jika kita berusaha utk mendekatinya. Di hujung ia nampak kecil, namun semakin dekat menjadi besar buat kita semua. Hanya kita yang seringkali tidak bersedia dan membuat alpa dengan nikmat yang dikurniakan. Jika dihitung segala nikmat Tuhan pada diri kita, maka tidak cukup air di muka bumi utk dijadikan dakwat dan daun untuk dijadikan kertas bagi menulis nikmat yang dikurniakan

Itu pun, masih lagi tidak bersyukur bahkan ada yang mentafsirkan diri sendiri "malang" apabila nikmat itu, terhenti di tengah jalan. 

PERBAIKI DIRI

Jadikan dugaan sebagai permulaan untuk membaiki diri. Bukan menyalahkan perkara lain atau orang lain dengan apa yang terjadi. Jika itu berulang-ulang kali berlaku, maka sebenarnya kita tidak pernah belajar dan tidak ingin belajar untuk memajukan diri. Senang cerita beginilah, kita akan menuduh orang bodoh, sedangkan kita tidak sedar bahawa diri kita yang bodoh, bahkan sombong. 

"ko pun terumbang ambing, lagi nak nasihatkan orang," 

Pernah dengarkan ungkapan begitu? Satu perspektif yang lain, kita melihat hadith Nabi SAW yang memberikan maksud, sampaikan lah dari ku walaupun satu ayat. Akan tetapi dengan bersandar dengan hadith ini jugalah, ramai antara kita yang berlagak pandai, walaupun dia tahu dia adalah bodoh. 

Bahkan, ada pula yang menyatakan, jangan lihat siapa yang menyampaikan, tapi lihatlah apa yang disampaikan. Saya tidak menyatakan, ianya salah. Tetapi penyalahgunaan maksud ayat itu, menjadikan segala nya benar tanpa ada kesalahan. 

BUKAN MUDAH NAK MUDAH

Dari kecil kita dididik untuk terus beradap dalam apa juga keadaan. Tidak kira susah mahupun senang. Kita diajar untuk terus bersyukur dan berusaha untuk menjadi yang terbaik. Biarpun Yang Maha Sempurna itu milik Dia, tetapi kita diterapkan dengan mengejar ke arah kesempurnaan. Jika dari awal, kita ambil mudah atau istilah lain tidak cakna, maka jadilah kita seperti lebai malang. 

Tidak menepati waktu, antara satu perkara yang mudah untuk memperlihatkan kita ambil mudah dan tidak serius dalam tindakan. Bahkan kita tidak rasa bersalah dengan apa yang berlaku kesan dari ketidaktepatan waktu itu. Lebih memburukkan keadaan, orang lain yang rela bertanggungjawab pula yang dipersalahkan. Sedihkan?? 

BUKAN SUSAH NAK SUSAH

Inilah perkara yang kita lakukan tanpa kita sedar. Kita tahu kita bodoh, tapi malas untuk mencari ilmu. Kita tahu kita banyak dosa, tapi kita tidak mencari pahala. Kita tahu kita tidak punya wang ringgit, tapi kita merungut saat pekerjaan yang ada sedikit mencabar. Kita tahu kita banyak mendustai tapi kita tidak pernah untuk jujur. Itulah beberapa perkara yang mudah untuk kita lakukan. Natijahnya, kesusahan melanda. Saat susah melanda itu, barulah kita sedar, banyak masa telah dibazirkan. 


Terbentang luas ruang dan peluang. Carilah selagi mampu. Usahalah tanpa jemu. Bukan untuk menjadi Tuan terus menanti bulan jatuh ke riba. Kita hanya manusia hamba di dunia sementara.

28 Zulqa'idah 1440 H
03:00 pm



Ulasan