"MALANG"... Sikap atau Sifat??


" saya tak tahu bang, semua benda yang melibatkan saya, mesti ada benda yang tak kena..."
" saya ni pembawa malang bang!"
" saya memang tak boleh buat apa-apa, ada aje yang tak kena,"
" dah memang nasib saya begitu, ada sahaja benda malang yang menimpa saya," kata Mail. 

Dia kecewa dengan dirinya apabila setiap perkara yang cuba dia penuhi seringkali menemui kegagalan bahkan mengundang masalah yang bertimpa-timpa. Kekeliruan melanda, adakah itu berpunca diri sendiri atau ada unsur lain yang memburukkan keadaan? Konflik yang agak sukar untuk mencari jawapan. 

KOREKSI DIRI

Belum terlambat untuk membetulkan diri. Jangan pernah salahkan orang lain, jika kita mampu untuk mengubahnya. Contohnya, jika kita mahu yakinkan orang lain, kita sendiri perlu menyakini diri sendiri. Keyakinan perlu disusuli dengan tindakan. Misalnya, kita berjanji untuk bertemu dengan seseorang, makan haruslah dipenuhi janji itu. Jangan berjanji lain tapi akhirnya tidak muncul. Itulah yang menjadikan hilang keyakinan orang lain terhadap diri kita. Jika tidak mampu, maka katakan sejujurnya. Bukan hanya menantikan belas kasihan dengan menyatakan alasan demi alasan. 

" saya pun tak nak jadi macam tu bang,"
" saya dah usaha sehabis baik, tapi benda dah nak jadi, saya tak boleh nak cakap apa,"

Jika pertama kali berlaku, mungkin kita boleh terima jika itu berlaku tanpa jangka. Tapi sekiranya berulang dan berulang dan terus berulang, maksudnya, pasti ada perkara yang perlu diperbaiki. 

Jika pernah tergigit cili, pastilah perlu disulami dengan air. Itulah tindakannya. Ambil tindakan untuk membetulkan keadaan. Bukan dengan terus menerus menggigit cili. 



RANCANG

Pernah dengar pepatah, " gagal merancang, merancang untuk gagal." ? Jika sekali sekali dibaca, mungkin tidak membawa maksud yang mendalam. Tapi jika dikaji, kita akan mendapati, hidup kita penuh dengan perancangan. Mereka yang gagal untuk merancang, maka itu lah yang akan menggagalkan hidup kita. Tuhan juga berpesan, "siapa yang berusaha, dia berjaya." Itu lah yang dikatakan perancangan. Merancang untuk berjaya. Perancangan pula seiring dengan usaha. Disitulah Tuhan akan melihat dan menilai segala usaha kita. Adakah sebenar-benar usaha atau sekadar melepaskan batuk ditangga. 

Ramai antara kita beranggapan, usaha itu hanya bermula 8 pagi dan berakhir 5 petang. Kita tidak melihat waktu selain itu. Waktu solat, waktu rehat, dan seumpama dengannya. Itu semua adalah terkandung dalam perancangan kita. Jika kita merancang dengan cantik, disulami dengan doa kepada Nya, Inshaa Allah pasti ada jalan dan perancangan akan menjadi hampir sempurna. 

24 JAM

Tanya diri kita, apa yang kita manfaatkan dengan 24 jam yang Tuhan kurniakan? Makan, tidur, kerja, ibadah? Hanya kita yang tahu tindakan diri kita. Jika betul kita bekerja untuk satu-satu waktu, pastikan pekerjaan itu berjalan lancar. Tanggungjawab kita setelah diamanahkan. Misalnya, kita diberikan tugas untuk menghantar barang jam 3 pagi, dan barang tersebut mestilah sampai ke destinasi sebelum jam 6 pagi. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk merealisasikan tugasan itu. Jika berlaku sebaliknya, maka kita seharusnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan yang berlaku. Akan tetapi sering berlaku, kita akan meletakkan kesilapan itu pada perkara lain. Contohnya, bateri telefon bimbit habis tatkala sedang mencari lokasi. Bateri lori lemah saat mula untuk menghidupkan enjin. Berderet alasan akan kita senaraikan. 

Sepatutnya, kita bersedia dengan pelbagai keadaan. Pelanggan tidak mahu mendengar apa yang kita lalui. Mereka hanya mahu kita mengikut jadual yang telah ditetapkan. Atau dengan kata lain, jika kita tidak mampu, biar dari awal kita tidak menyatakan kesanggupan. Paling sedih, kesilapan itu, tidak diakui dan meletakkan kesilapan itu pada orang lain. Nauzubillahi min zalik. 


MULAKAN

Jangan tunggu lagi, mulakan dari sekarang. Tiada istilah terlambat. Semakin lambat kita mulakan, semakin jauh kita ketinggalan. Biar kita sibuk dengan pekerjaan dan tindakan, bukan kita sibuk dengan masa lapang. Bukan juga sibuk untuk menuntuk kasihan. Seteruk mana pun kehidupan kita, masih ada mereka yang lebih teruk dari kita. Kita adalah penentu siapa diri kita. 

"Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, selagi mereka tidak mengubah nasib mereka sendiri."
Sekali kita medapat peluang, usahalah sebaik yang mungkin. Jangan pernah menoleh ke belakang. Jadikan pengalaman dan pengajaran untuk kita perbaiki diri. Siapa lagi yang akan membetulkan diri kita jika bukan diri kita sendiri? 

DUIT

Doa Usaha Ikhtiar Tawakal

Adunan yang sangat penting bagi menjadikan setiap perkara diberkati dan dirahmati. Dalam kesibukan kita mengejar dunia, jangan pernah lupa untuk berserah kepada Tuhan. Dialah yang memberikan ujian, dan Dia jugalah yang menyediakan jalan penyelesaian. Kita manusia yang bergelar hamba di pentas dunia ini menjadi pelengkap bagi setiap ujian yang diberikan. Itulah darjat yang diletakkan kepada kita sebagai manusia.... HAMBA... yang membezakan kita adalah iman dan taqwa... 

Wallahualam...

01 Zulhijjah 1440 Hijri :: 02 Ogos 2019 Miladi

1810

Ulasan