200 pax HILANG????


Assalamualaikum Wrt Wbt

Semoga semuanya dalam keadaan diberkati dan dirahmati.

Sedar tak sedar, kita sudah di pertengahan bulan Rejab. Tak lama lagi akan menyambut Ramadhan Al Mubarak. Agak-agak apa persediaan kita untuk Ramadhan kali ni?? Mudah-mudahan lebih baik dari tahun lepas. Jika berpeluang, berbuka di masjid atau surau. Jika berpeluang, terawikh bersama keluarga. Bersahur bersama anak-anak dan isteri. Besar berkahnya.

Kembali kepada topik asal, baru-baru ini saya terbaca status salah sebuah pihak katering yang menyatakan, kehilangan 200 pax makanan di saat-saat akhir. Lebih buruk lagi keadaan, apabila status itu dimuatnaik, saat ramai yang sedang mencari pembekal katering bagi majlis walimah. Menggerunkan.

Pengalaman saya mengajar untuk bersiap sedia, sebelum sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Antaranya;

1. AMBIL FOTO

Sebagai pegawai bertugas, pastikan kamera telefon bimbit anda, sentiasa cukup bateri dan berfungsi. Ambil gambar aktiviti di belakang mahupun di meja buffet. Terutama keadaan lauk pauk. Waktu puncak adalah masa yang paling kritikal. Kerjasama dari pihak katering dan tuan rumah sangat diperlukan. 

2. KOMUNIKASI

Buatlah wassap group atau telegram untuk menyalurkan maklumat. Setiap info mengenai makanan, disampaikan di dalam group tersebut. Kalau boleh sebelum majlis lagi diwujudkan group tersebut. Foto-foto keadaan lauk dan pantry di belakang juga dikemaskini di group tersebut. Biasanya, perlu melantik seorang wakil dari Tuan Rumah, untuk lebih memudahkan perbincangan bersama pihak katering. 

3. KOORDINATOR

Peranan yang sangat penting dalam sesebuah majlis. Tidak boleh meninggalkan majlis selagi tidak selesai tugasan di pantry mahupun di buffet. Dialah yang menentukan bilangan pax yang tinggal untuk sesebuah majlis. Dia juga yang menyalurkan maklumat kepada pihak keluarga mahupun pihak pentadbiran katering. Dia jugalah yang memegang telefon dan mengambil foto yang berkenaan. Dia jugalah yang datang paling awal, dan balik paling lambat. Itu biasa... 

4. WAKIL TUAN RUMAH

Salah seorang yang penting, dalam membuat keputusan. Coordinator tidak akan mencari tuan rumah kerana dia tahu, tuan rumah sangat sibuk melayan tetamu yang datang dan balik. Pastinya, dia akan mencari wakil tuan rumah yang dilantik untuk membuat keputusan. Wakil tuan rumah juga harus bijak dan bertanggungjawab dengan keputusan yang dibuat. Tidak lah nanti, jika terjadi sebarang masalah, main tuding jari. 

5. DOKUMENTASI

Selain dari gambar, invoice dan DO, adalah dokumen yang penting untuk dibawa bersama. Ini sebagai bukti kepada lauk pauk dan kelengkapan yang disediakan oleh pihak katering. Koordinator juga perlu membawa wakil tuan rumah atau tuan rumah sendiri melihat lauk pauk yang sampai dan keadaan lauk pauk yang akan dihidangkan. Persetujuan perlu ditunjukkan dalam dokumen tersebut dengan pihak tuan rumah perlu menandatangani persetujuan terima lauk pauk dan kelengkapan yang telah di bawa.

6. TAKLIMAT

Perlu dilaksanakan bersama krew petugas, koordinator dan wakil atau tuan rumah. Jam 10 pagi, adalah waktu yang sesuai untuk menjalankan taklimat, memandangkan, jam 10:30 pagi, adalah waktu untuk ahli keluarga menjamu selera. Pastikan, ada juga taklimat dari wakil tuan rumah, supaya petugas mengenali wakil tuan rumah. 

7. PEMANTAUAN

Bukan tidak percaya, tapi pengalaman telah membuktikan. Apabila tiba waktu untuk membungkus makanan yang lebih kepada tetamu, pastikan ada wakil tuan rumah bersama di pantry. Kebanyakan pekerja katering adalah pekerja sementara. Pastinya mereka segera mahu menyelesaikan tugas dan ingin pulang. Dari awal pagi mereka bersedia untuk datang, pasti keletihan menggalas tugas sebagai petugas majlis walimah. Jadi, untuk mengelakkan dari berlaku lauk yang disorok, tidak dibungkus atau ada yang bawa balik, sebaiknya, wakil tuan rumah dan wakil katering ada bersama. Setiap detik waktu membungkus perlu dirakam, agar selamat semua dibungkus. Koordinator juga perlu mengambil kira kualiti makanan ketika itu. Adakah selamat untuk dibungkus atau sebaliknya. 

Jika persetujuan sudah dicapai, inshaa Allah, tiada masalah berbangkit akan terjadi. Majlis akan berjalan dengan lancar dan dipenuhi dengan keberkatan. 

Inilah sedikit tips yang boleh saya kongsikan untuk bakal mertua, atau bakal pengantin.

Moga bermanfaat.

Wassalam, terima kasih

MOHD RUSDI ABDULLAH
Event Advisor

16 Rejab 1441H
11 Mac 2020


Ulasan